Annuar Musa

SERDANG – Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menyorok minyak masak selepas kerajaan memutuskan untuk menurunkan harga minyak tanpa subsidi 5 kilogram (kg) bermula esok.

Katanya, tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah harga minyak, sekaligus menjadikan pengguna sebagai mangsa.

“Nak berjaya kena bekerjasama, jangan kerana harga minyak akan turun dan peniaga mula sorok barang dan itu tidak akan dapat selesaikan masalah.

“Kalau kita nak betulkan semua ni, orang mesti laksanakan langkah-pangkah dengan cara yang betul,” katanya selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini.

Tambah beliau, semua pihak, khususnya peniaga dan pembekal, perlu bekerjasama dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak sehingga menekan rakyat.

“Kita tahu mengambil keuntungan dan pencatutan adalah bercanggah dengan undang-undang, begitu juga menyorok barang juga merupakan satu kesalahan. Kita kena bekerjasama,” katanya.

Bermula esok, harga minyak masak botol 5 kg diturunkan kepada RM34.70.

Harga baharu berkenaan ditetapkan susulan pelaksanaan harga maksimum minyak berkenaan secara bulanan berdasarkan harga bagi satu tan metrik minyak sawit mentah (CPO) diumum Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dengan harga RM4,063 bagi Ogos. – MalaysiaGazette