BIRMINGHAM – Kesilapan terjunan pada percubaan keempat sudah memadai untuk menafikan gandingan Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri pingat gangsa pada aksi final acara 10 meter (m) platform seirama di temasya Sukan Komanwel 2022 Birmingham, di sini hari ini.
Menuju ke terjunan keempat di tempat kedua keseluruhan, pasangan itu silap langkah dan hanya mampu mengumpul 41.28 mata untuk menjunam ke kedudukan keenam dan tercorot dengan jumlah 211.08 mata.
Walaupun pulih untuk mencatatkan 75.84 mata – tertinggi dalam lima terjunan mereka – ia hanya mencukupi untuk naik dua anak tangga di tempat keempat dengan jumlah pungutan keseluruhan 286.92 mata iaitu hanya kurang 0.96 mata daripada pemenang gangsa, Robyn Birch-Emily Martin (287.88) dari Australia.
Penerjun negara memulakan langkah dengan perlahan dengan catatan 48.60 mata pada terjunan pertama untuk menduduki tempat keempat sebelum naik ke tempat kedua apabila mencatatkan 51.00 mata pada terjunan kedua untuk mengumpul jumlah 99.60 mata.
Pemenang pingat gangsa di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary, baru-baru ini, Pandelela-Nur Dhabitah, mengekal kedudukan kedua selepas terjunan ketiga apabila memperoleh 70.20 mata untuk keseluruhan 169.80 mata.
Pada ketika itu, gandingan negara itu kelihatan baik untuk buruan sekurang-kurangnya pingat perak sebelum situasi berubah.
Gandingan Australia, Charli Petrov-Melissa Wu, yang turut melakukan kesilapan pada terjunaan keempat, tetapi mampu mendahului saingan untuk merangkul emas dengan 306 mata manakala wakil England, Eden Cheng-Andrea Spendoloni Siriex meraih perak dengan 298.86 mata.
Pandelela, bagaimanapun, berkata, beliau tidak menyesal terlepas peluang sekali lagi untuk membawa pulang pingat emas kerana merasakan terjunannya semakin baik selepas persembahan hambar pada Khamis (4 Ogos), yang menyaksikan beliau mendapat tempat ke-11 dalam acara 10m platform individu.
“Saya berasa lebih baik daripada Khamis lalu dan sebenarnya saya hanya berharap untuk beraksi seperti biasa mengikut perancangan dalam sesi latihan. Menang dan kalah adalah perkara biasa dalam sukan. Anda hanta perlu menerimanya secara positif dan bergerak ke hadapan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di zon campuran di Pusat Akuatik Sandwell.
Nur Dhabitah, yang terdahulu merangkul pingat perak bersama Wendy Ng Yan Yee dalam acara 3m papan anjal seirama, berkata beliau bersyukur mempunyai pasangan yang memahami keadaan seperti Pandelela, lebih-lebih lagi selepas beliau tidak dapat melakukan terjunan sempurna pada aksi final.
Pandelela masih mempunyai peluang terakhir untuk membuktikan kehebatannya apabila berganding dengan Jellson Jabilin pada acara 10m platform seirama campuran, Isnin ini (8 Ogos).
Sementara itu, Nur Dhabitah akan beraksi dalam acara 3m papan anjal individu wanita pada 7 Ogos dan 3m papan anjal seirama campuran dengan Muhammad Syafiq Puteh pada hari terakhir temasya itu, Isnin ini (8 Ogos). – BERNAMA