Mohamad Aniq Kasdan

SEPANG – Kejayaan meraih emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 menjadi pembakar semangat buat badang negara Mohamad Aniq Kasdan untuk terus mempersembahkan aksi terbaik bagi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Atlet kelahiran Segamat, Johor itu optimis mampu menggapai impiannya untuk beraksi di pentas berprestij itu buat julung kalinya dengan berkat kesungguhan berlatih bersama jurulatih Yon Haryono selain prestasi semasa yang ditonjolkan beliau.

“Selepas ini memang (saya) akan fokus menyertai lima atau enam kejohanan antarabangsa untuk mengumpul mata ke Sukan Olimpik dan saya yakin sekiranya mampu memantapkan disiplin diri, sudah pasti mampu ke sana (Sukan Olimpik) nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Pemenang pingat gangsa di Sukan SEA Hanoi Mei lepas itu turut memaklumkan Kejohanan Dunia di Colombia pada Disember ini akan menjadi medan pertamanya mencipta magis bagi merekodkan mata pertamanya.

Pada 30 Julai lepas, Mohamad Aniq menampilkan aksi bertenaga untuk menjelmakan emas pertama negara di Birmingham menerusi kategori 55 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan seberat 249kg (snatch 107kg, clean & jerk 142kg).  — BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast