BIRMINGHAM – Mara ke pusingan akhir, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah kini hanya selangkah untuk merangkul emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Bagaimanapun pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan saingan mereka dalam acara beregu lelaki selepas dikejutkan dengan kekalahan pada aksi separuh akhir hari ini.
Pearly-Thinaah menempah tiket ke final selepas mengalahkan Treesa Jolly-Gaytri Gopichand Pullela dari India, 21-13, 21-6.
Beregu wanita nombor 11 dunia itu akan bertemu wakil tuan rumah Chloe Birch-Lauren Smith yang menyingkirkan Gronya Somerville-Wendy Chen Hsuan-Yu dari Australia, 21-14, 24-22.
Pearly Tan-M.Thinaah kini dalam misi untuk memastikan emas beregu wanita kekal milik Malaysia selepas Chow Mei Kuan-Vivian Hoo memenanginya pada edisi temasya itu di Gold Coast 2018.
Turut ke akhir, perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong, selepas atlet yang mula bersinar itu mengetepikan Kidambi Srikanth dari India, 13-21, 21-19, 21-10.
Sementara itu, Aaron-Wooi Yik dikejutkan beregu England Ben Lane-Sean Vendy dalam pertarungan tiga set.
Meskipun memenangi set pertama 21-18, Aaron-Wooi Yik mempamerkan aksi mengecewakan pada set kedua dengan kekalahan 17-21 sebelum ‘dibelasah’ pada set penentuan 4-21.
Satu lagi beregu Malaysia Chan Peng Soon-Tan Kian Meng turut tersingkir selepas gagal menundukkan beregu utama India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dengan kekalahan 6-21, 15-21.
Bercakap selepas perlawanan, Peng Soon mengakui beregu India itu sememangnya pada prestasi terbaik mereka, manakala Kian Meng bertekad untuk melakukan yang terbaik bagi meraih gangsa dalam perlawanan bertemu Aaron-Wooi Yik.
Kian Meng, yang juga bergandingan dengan Lai Pei Jing dalam acara beregu campuran, terdahulu tewas pada satu lagi aksi separuh akhir kepada Hee Yong Kai Terry-Jessica Wei Han Tan dari Singapura 23-25, 18-21.
Kian Meng-Pei Jing akan membuat penentuan gangsa menentang beregu Scotland Adam Hall-Julie Macpherson pada sesi perlawanan yang akan bermula 5 petang waktu tempatan hari ini (8 Ogos 12 tengah malam waktu Malaysia). – Bernama