Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Program Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Sarawak.

KUCHING – Pembangunan negeri Sarawak sentiasa diutamakan oleh Kerajaan Persekutuan dan ia terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.55 bilion yang disediakan di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022,
RMKe-12.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan ini selari dengan sasaran sifar miskin tegar pada akhir tahun 2025 melalui Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang turut melibatkan negeri ini.

Menurutnya, fasa pertama BMTKM di Bumi Kenyalang ini melibatkan empat lokaliti iaitu Gedong, Kampung Seberang Sebuyau, Kampung Spaoh dan Pakan.

Selain BMTKM, seramai 867,967 Keluarga Malaysia di Bumi Kenyalang telah menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM745 juta, membuktikan kecaknaan Kerajaan terhadap Keluarga Malaysia di negeri ini.

Menurut beliau, Projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16.1 bilion yang dilancarkan pada bulan Mac 2015, kini berada pada tahap 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

Kerajaan juga akan meneruskan Fasa 2 Projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) yang akan menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei manakala Fasa 2 SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng di Lawas ini, akan menghubungkan Mulu hingga Long Merarap sejauh 326 kilomerer dengan kos RM7.68 bilion yang pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan.

Kerajaan turut menambah baik jaringan jalan raya sedia ada antara Miri ke Limbang dan Lawas melalui Brunei di bawah Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB), melibatkan kerja-kerja naik taraf sepanjang 96.351km bagi tempoh tiga tahun dengan kos berjumlah RM2.93 bilion, yang bakal menjadi pemangkin pembangunan sosio ekonomi setempat kerana Lebuh Raya Pan Borneo mula memberi impak positif dan limpahan ekonomi kepada peniaga Pasar Tamu Simpang Bekenu.

Bagi menjamin keselesaan dan kemudahan generasi masa hadapan, peruntukan sebanyak RM5.77 bilion telah disediakan di bawah RMKe-12 bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak.

”Daripada 409 buah projek pembangunan baharu dan sambungan, sebanyak 111 buah projek kini siap sepenuhnya, 109 buah projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 189 buah projek berstatus prabina.

”Peruntukan sebanyak RM2.16 bilion juga turut disediakan bagi menampung 361 buah projek menaik taraf dan pembangunkan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif.

”Sebanyak 203 buah projek telah siap, 68 buah projek di peringkat pembinaan manakala bakinya dalam peringkat prabina,” katanya ketika berucap pada Program Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Sarawak.

Ismail Sabri menambah, bagi sektor kesihatan pula, sebanyak enam projek pembinaan hospital dan klinik dilaksanakan di negeri ini, melibatkan tambahan bangunan, kelengkapan perubatan serta kuarters.

Sehingga kini Hospital Sri Aman telah pun siap manakala lima buah projek lagi yang melibatkan kos sebanyak RM695.5 juta di Miri, Mukah, Kuching dan Serian dijangka siap tahun depan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar turut menyediakan peruntukan sebanyak RM13.4 bilion bagi pembangunan prasarana dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia Sarawak.

Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak juga komited dalam menyediakan kemudahan jalur lebar (Internet) kepada rakyat negeri ini melalui Program Jalinan Digital Negara dengan memperuntukkan sebanyak RM4.09 bilion di bawah RMKe-12 untuk memastikan capaian jalur lebar secara menyeluruh di Sarawak menjelang 2030.

Katanya, pelancaran satelit kelapan negara, MEASAT-3d baru-baru ini dengan kos sekitar RM1.2 bilion telah dilancarkan bagi meningkatkan kelajuan capaian Internet sedia ada, sekaligus merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.

”Inilah antara tanda keprihatinan dan inisiatif kerajaan kepada rakyat di negeri ini. Kerajaan berharap selepas ini tiada lagi Keluarga Malaysia yang terpaksa memanjat pokok atau berkhemah di atas bukit semata-mata mencari liputan Internet,” katanya. – MalaysiaGazette