KUALA LUMPUR – Transparency International Malaysia (TI-M) tidak bersetuju dan kecewa dengan pendekatan Kementerian Dalam Negeri, Kabinet dan kerajaan untuk mengekang kebebasan dan reformasi polis melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU)Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) di Parlimen.

Presidennya, Dr Muhammad Mohan berkata, RUU ini akan menduplikasi tujuan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lagipun, menurutnya, TI-M mendapati beberapa kelemahan dalam RUU yang dicadangkan, termasuklah:

• Seksyen 27: Membenarkan orang yang diperiksa untuk menolak daripada menjawab soalan jika orang tersebut cenderung untuk membabitkan mana-mana individu atau jika Ketua Jabatan memperakui maklumat itu sebagai memudaratkan keselamatan/kepentingan negara;

• Seksyen 28: Semua dokumen diperoleh yang diminta oleh Suruhanjaya diuruskan di bawah Akta Rahsia Rasmi, atau permintaan tersebut boleh ditolak jika Ketua Jabatan memperakui maklumat tersebut sebagai memudaratkan keselamatan/kepentingan negara;

• Seksyen 30: Semua penemuan salah laku hendaklah dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (ini adalah pertindihan fungsi JIPS), dan semua penemuan kesalahan jenayah hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa yang berkenaan (untuk semua kes kesalahan panel, termasuk pembunuhan, ini bermaksud merujuk semula kes itu kepada PDRM);’

• Seksyen 6: Pelantikan (dan penamatan) semua ahli Suruhanjaya hendaklah dibuat oleh Raja, atas nasihat tunggal Perdana Menteri (bukannya Parlimen, atau Jawatankuasa Pilihan Parlimen, dengan proses yang seimbang dan telus).

Menurutnya, EAIC tidak seperti IPCC kerana tiada kuasa menggeledah dan menyita, tiada kuasa untuk mengadakan perbicaraan awam, tiada kuasa untuk membenarkan ‘pihak yang berkepentingan’ menyoal saksi, tiada kuasa untuk menyiasat salah laku termasuk pelanggaran prosedur dan dalam situasi di mana pegawai tidak bertugas dalam tugas rasmi dan skopnya terhad kepada PDRM

Di samping semua skop yang menonjol, yang mempunyai sekatan yang sukar dijelaskan serta kuasa IPCC, Rang Undang-Undang baharu meletakkan IPCC di bawah KDN dan membenarkan anggota PDRM yang telah dan sedang berkhidmat dilantik oleh IPCC, menimbulkan persoalan mengenai “kebebasan” dalam nama suruhanjaya yang
dicadangkan, tambah beliau lagi.

”Isu-isu yang dihadapi PDRM telah pun dikaji, didokumenkan dan penyelesaian yang jelas dicadangkan sejak 2004 dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai reformasi polis.

”Walau bagaimanapun, TI-M amat kecewa kerana selepas berlarutan selama hampir 2 dekad, dan meskipun terdapat pelbagai cadangan mengenai pembaharuan, kerajaan telah memilih untuk mencadangkan satu lagi agensi di bawah genggaman Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri tanpa niat untuk menghukum salah laku atau menamatkan pelepasan hukuman terhadap pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sedangkan, keengganan berterusan untuk menerima realiti dan memastikan akauntabiliti adalah persepsi yang dimiliki oleh orang di dalam dan di luar negara terhadap kerajaan dan institusinya.

Muhammad menambah, amat mengagumkan apabila Malaysia mempunyai Pelan Pencegahan Rasuah Kebangsaan, namun sia-sia apabila ia hanya diwujudkan secara permukaan, bukan secara dasar.

”TI-M baru-baru ini telah menjelaskan bagaimana tindakan (atau kekurangan tindakan) daripada kerajaan serta agensinya mempengaruhi persepsi orang ramai terhadap usaha memerangi rasuah di negara ini – penggubalan Rang Undang-Undang IPCC yang (tidak) tepat pada masanya mungkin menjadi ramalan yang menjadi kenyataan iaitu
“orang yang korup akan terus wujud”,” ujar beliau. – MalaysiaGazette