Dr. Ibrahim Ali

KOTA BHARU – Gerakan Tanah Air (GTA) adalah gagasan baharu yang bertujuan untuk berjuang dan bertindak menyelamatkan orang Melayu serta Islam, kata Datuk Dr. Ibrahim Ali.

Presiden Putra itu berkata, hak orang Melayu kini mula terkesan dengan kehilangan banyak tanah miliknya kepada golongan lain, yang menyaksikan masa depan bangsa itu semakin tergugat.

Jelas beliau, orang Melayu dan pribumi patut bimbang kehilangan bumi yang dipijak dalam tempoh 20 tahun akan datang jika keadaan itu tidak dibendung dan diperbetulkan.

“Lihat sahaja Tanah Rizab Melayu (TRM) yang kini hanya tinggal 12 peratus sahaja lagi dan semakin berkurangan dari jumlah yang digazetkan 50 peratus atas wasiat Raja-raja Melayu.

“Paling mengejutkan kehilangan TRM di Kelantan walaupun ada Kanun Tanah Negeri yang tidak membolehkan orang luar membeli dan memilikinya, tetapi mutakhir ini rumah kediaman dan lot kedai sudah banyak dimiliki bukan Melayu,” katanya pada Ceramah Perdana Putra di Taman Husrah, Panchor, Pengkalan Chepa, dekat ini, malam tadi.

Menurut beliau, jika TRM terus hilang termasuk di Kampung Bharu, Kuala Lumpur, orang Melayu Malaysia akan jadi seperti Melayu Singapura atau rakyat Palestin yang kehilangan buminya kepada bangsa lain.

Kata Ibrahim, oleh kerana teras piagam dan matlamat GTA adalah untuk menyelamatkan tanah orang Melayu daripada terus dijual dan hilang, sewajarnya umat Melayu dan pribumi bersyukur dengan kelahiran gagasan baharu ini.

“Inilah perjuangan yang saya usahakan 14 tahun dahulu melalui penubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang saya dicemuh rasis dan sebagainya.

“Sewajarnya juga kita bersyukur kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudah berusia 97 tahun, tetapi masih bersedia memikul tanggungjawab untuk memimpin gagasan ini.

“Beliau masih cergas dengan pegangan perjuangannya untuk orang Melayu, rakyat Malaysia dan negara amnya, malah akan terhenti apabila nyawa bercerai dengan badan,” katanya.

Menurutnya, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu merupakan tokoh negarawan bertaraf dunia, yang masih tetap turun ke lapangan dengan tidak peduli apa orang kata dan sentiasa pula berdepan pelbagai risiko.

Pendirian negarawan yang banyak berjasa kepada negara sebelum ini, katanya, meletakkan Malaysia tersohor dan dihormati di persada antarabangsa.

Kini kata beliau, Malaysia sudah menjadi cemuhan dunia luar sebagai negara rasuah yang sarat dengan pelbagai masalah, hutang negara mencecah trilion ringgit, nilai ringgit jatuh teruk, berdepan krisis makanan, kenaikan kos sara hidup dan inflasi.

Jelasnya, sebaik Mahathir mengumumkan penubuhan GTA Khamis lalu, serangan bertubi-tubi datang yang dipercayai daripada cybertrooper berbayar oleh parti-parti tertentu.

“Mereka bimbang penubuhan GTA ini akan menggugat kepentingan parti dan ketua mereka. Oleh itu, Tun Mahathir diserang secara peribadi dengan pelbagai tuduhan serta cemuhan.

“Mereka kata Mahathir sudah tua, tetapi apa masaalah kalau masih sihat dan cergas? Pemimpin bukan soal muda atau tua. Ada yang muda mudah terpalit dengan kejutan budaya.

“Tengok sahaja contoh seorang pemimpin muda, belum apa-apa sudah kena dakwa di mahkamah,” ujar beliau.

Katanya, yang penting tidak kira muda atau tua, pokoknya seseorang pemimpin itu mesti bersih, bermoral dan berintegriti, iaitu pengalaman adalah asas utama.

Oleh itu, orang muda wajar menjadikan Tun Mahathir sebagai idola bagi mengasah bakat kepimpinan yang mantap.

Beliau turut menjawab kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin yang mempersoalkan kepimpinan GTA tidak mencerminkan masa depan Malaysia.

Jawab beliau, semua pemimpin dalam GTA adalah golongan yang berintegriti dan bermoral berbanding kepimpinan UMNO yang sudah reput dengan imej dan isu buruk.

“Yang patut dipersoalkan adalah golongan dari kenderaan lama (UMNO) yang sudah reput dengan imej dan isu buruk ini. Adakah mereka ini harapan bagi masa depan rakyat Malaysia?,” katanya.

Beliau juga menolak tuduhan bahawa penubuhan GTA itu akan memecah undi Melayu.

Katanya, kalau undi pecah kerana UMNO tidak lagi diterima, tidak salah, malah baik untuk rakyat dan negara.

“Tuduhan pecah undi tidak tepat. GTA bertanding di kawasan majoriti Melayu. Ada parti lain juga bertanding dan meletakkan calon Melayu. Cuma rakyat diberi pilihan dan boleh pilih yang terbaik,” katanya.

Ibrahim juga turut membidas Pakatan Harapan (PH) dengan mengatakan, parti campuran Melayu dan bukan Melayu itu tidak layak bercakap soal Melayu serta Islam.

“Dasarnya sudah terbukti bahawa agenda Melayu dan Islam bukan keutamaan mereka.

“Politik yang mereka anjur dan agungkan itu umpama biarlah Melayu merempat hilang bumi dipijak, asalkan dapat undi dari lain-lain kaum. Itu perjuangan mereka.

“Sedangkan GTA adalah kesinambungan kepada perjuangan nasionalisma Melayu iaitu agama, bangsa dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Masalahnya Pengerusi GTA itu Mahathir. Dia ni lah yg tidak bermoral, mengkayakan kroni dan anak2. Malahan menjual syarikat2 kerajaan dan GLC kepada warga asing. Jgn lupa Mahathir ni lah yg bersekongkol dgn DAP utk menghancurkan Melayu ketika menjadi PM era PH…lagi mahu cakap soal Melayu? hufttt

Comments are closed.