22 PATI warga Thailand yang digajikan bot nelayan tempatan ditahan APMM Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN –  Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas dikesan mengajikan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) di kedudukan 0.9 batu nautika utara perairan Monkey Beach, Teluk Bahang di sini semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan itu ditahan pukul 5.15 petang ketika sedang bersauh di utara perairan Pulau Pinang oleh anggota penguat kuasa yang sedang melaksanakan rondaan Ops Benteng Laut.

Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan kelas C2 itu, dikendalikan 22 kru warga Thailand termasuk tekong berusia dalam lingkungan 26 hingga 54 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua kru terbabit bekerja di atas bot itu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan selain tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot tersebut dikesan di perairan Monkey Beach, Teluk Bahang di sini.

“Bot, kru termasuk tekong ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Sek 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran ketua pengarah perikanan dan Sek 56 (1A) (a) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melakukan kesalahan dengan berada di Malaysia tanpa suatu dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Abd Razak, semua pihak terutamanya komuniti nelayan dinasihatkan untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan yang sedia ada.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 262 6146 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – MalaysiaGazette