abdul hadi awang urusan mahkamah
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Kedudukan akar umbi Pas di Sabah makin meningkat dengan pertambahan ahli.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang gembira dengan perkembangan itu berkata, beliau bersyukur penubuhan kawasan dan cawangan baharu serta pengukuhan gerak kerja dakwah dan politik berlangsung dalam suasana masyarakat majmuk yang harmoni.

“Maudhu’ (tajuk) dakwah kita adalah Islam yang menyeluruh. Di sana adanya ibadah, dakwah, kebajikan, kemasyarakatan, ekonomi, termasuk urusan politik.

“Di sana adanya juga hikmah dalam pendekatan untuk mendekatkan mad’u (sasaran dakwah) kepada Islam,” katannya dalam kenyataan yang disiarkan di Harakahdaily.

Pemimpin utama Pas itu mengadakan lawatan kerja ke negeri itu baru-baru ini dan telah mengadakan liqa qiadi bersama ahli Badan Perhubungan Pas Negeri Sabah dan seterusnya merasmikan Konvensyen Pas Pilihanku Peringkat Negeri Sabah.

Menurut Abdul Hadi, Pas memilih pendekatan demokrasi dengan menyertai semua pilihan raya walaupun masih terdapat banyak kelemahan dan salah laku seperti penipuan dan rasuah.

“Pas mendahulukan pendekatan damai, politik berdakwah dan mengilmukan masyarakat yang tenggelam dalam kejahilan terhadap Islam dan menegakkan Islam dalam aspek bernegara.

“Terima kasih dan tahniah kepada Badan Perhubungan Pas Negeri Sabah atas kehadiran ahli yang sangat ramai dalam Konvensyen Pas Pilihanku Peringkat Negeri Sabah. Ia satu petanda yang positif ke arah Pas lebih kukuh dan kuat di Sabah,” katanya.

Pas bertapak di negeri itu sejak awal 90an. Pada Pilihan Raya Negeri Sabah pada September 2020 parti itu yang merupakan komponen Perikatan Nasional tidak meletakkan sebarang calon.

Bagaimanapun Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan terpilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri lantikan.

Pelantikan itu menjadikan Aliakbar sebagai pemimpin pertama PAS Sabah menjadi ADUN di negeri itu.

PAS pernah menyertai beberapa pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, namun gagal memenangi sebarang kerusi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast