PUTRAJAYA – Lesen Memandu Vokasional (GDL) bukan satu keutamaan kepada penunggang dan pemandu industri perkhidmatan penghantaran makanan dan barang di negara ini.
Pengerusi Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata, sebaliknya kerajaan perlu fokus membela kebajikan pekerja ekonomi gig itu khususnya dari segi kadar bayaran didakwa berubah-ubah.
“Saya tak kata benda ini (GDL) tidak bagus, tetapi menteri pun ada maklumkan belum muktamad. Persatuan tak buat keputusan sendiri, tapi kita akan berbincang dengan kawan-kawan yang lain tentang GDL ini.
“Apa yang boleh saya katakan, kita akan perhalusi, tengok dan andai kata perkara ini kurang disenangi, kita akan beri cadangan dengan cara baik. Kita akan buat soal selidik tahap penerimaan rider-rider terhadap GDL ini.
“Sebenarnya isu utama kami datang ialah isu upah, tapi jadi GDL satu keutamaan, tak apa. Kita lihat balik, kalau pengawal seliaan kena ada satu undang-undang, tapi kaedahnya kita boleh berbincang,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, semalam.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong tidak menolak kemungkinan penunggang dan pemandu p-hailing perlu mendapatkan GDL sebagai syarat untuk bekerja dalam industri ekonomi gig itu.
Selain itu, kerajaan juga akan meminda had umur penunggang p-hailing atau motosikal penghantaran barangan kepada tidak kurang dari 18 tahun berbanding 21 tahun ketika ini.
Dalam pada itu, Zulhelmi juga berkata, tanpa gerakan mogok 24 jam pada Jumaat lalu mungkin suara mereka tidak didengari, apatah lagi daripada Perdana Menteri sendiri.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada rider-rider yang bersolidariti dalam hal boikot 24 jam, tanpa semangat dan gerakan ini perkara ini tak sampai ke peringkat Perdana Menteri.
“Saya nak ucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana begitu prihatin terhadap isu ini. Tiada tempat lain lagi (mengadu) kecuali kerajaan kami harapkan sebagai jaminan untuk menyelesaikan hal ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette