TIADA negara di dunia termasuk Malaysia yang bersedia untuk mendedahkan maklumat sulit berkaitan aset pertahanan yang dimiliki atau bakal diperolehnya.
Namun perbincangan secara terbuka yang sedang hangat berhubung isu kapal tempur pesisir (LCS) di negara ini ketika ini kelihatan agak membimbangkan.
Hari ini, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Steven Sim meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memanggil sidang khas Parlimen bagi membahaskan isu tersebut.
Ada juga yang mendesak agar suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu tersebut, antaranya Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Bagaimanapun, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berpandangan, isu LCS seharusnya dibincangkan secara dalaman oleh pihak-pihak yang berkepentingan iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Perbincangan terbuka setakat ini hanya dari segi pelaksanaan, tak melibatkan aspek teknikal tetapi kita tahu dari sudut teknikal sukar untuk dirahsiakan akan dapat diketahui,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Seperti yang dijelaskan beliau, perbincangan isu LCS secara terbuka hanya akan melambatkan lagi proses perolehan aset pertahanan itu walhal terdapat keperluan mendesak untuk TLDM segera mendapatkannya.
Kebimbangan Azmi itu bersandarkan kepada hakikat bahawa sebagai sebuah negara pesisir Laut China Selatan, adalah mustahak bagi TLDM memiliki aset-aset yang berupaya menjaga sempadan perairan Malaysia agar tidak dicerobohi anasir asing.
Memandangkan terdapat beberapa spesifikasi teknikal yang dikehendaki TLDM belum dipenuhi, terdapat kemungkinan maklumat sulit tersebut bocor ketika dibentangkan dalam perbahasan di Parlimen atau RCI.
Tambahan pula, kata Azmi, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pihak tertentu mengenai isu LCS ketika ini lebih berunsur politik dan menuding jari menyalahkan antara satu sama lain.
“Bila ada agenda politik, itu salah, ini salah yang rugi akhirnya TLDM juga,” katanya.
Ditanya sama ada negara-negara lain pernah membincangkan soal pembelian aset pertahanan secara terbuka, Azmi berkata, perkara itu tidak berlaku.
Beliau memberi contoh perkembangan terkini yang agak hampir dengan rantau Asia Tenggara iaitu pembentukan pakatan ketenteraan Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) atau ringkasannya AUKUS pada 15 September tahun lalu.
Melalui AUKUS, UK dan AS akan membantu Australia memiliki kapal selam berkuasa nuklear.
“Memang kita tahu Australia akan menerima kapal selam berkuasa nuklear tetapi dari segi teknikalnya kita tidak tahu sebab tidak dibincangkan secara terbuka,” tambahnya.
Azmi juga memahami kebimbangan pihak tertentu berhubung kemungkinan berlaku salah guna kuasa dalam perolehan LCS namun walau apa pun alasannya, soal menjaga kerahsiaan aset pertahanan negara mesti dirahsiakan.
Dalam perkembangan sama, memang wajar apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyuarakan kebimbangan beliau dengan tindakan ‘jijik’ Pakatan Harapan (PH) memainkan isu LCS kerana dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan negara.
Selain itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) agar lebih sensitif dalam mengendalikan isu LCS.
Najib dan Ahmad Zahid yang pernah menyandang jawatan Menteri Pertahanan pasti lebih memahami betapa pentingnya soal menjaga maklumat sensitif berkaitan aset pertahanan negara.
Sememangnya sikap dua pemimpin Barisan Nasional (BN) itu jauh berbeza dengan apa yang berlaku semasa Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu menjadi Menteri Pertahanan ketika PH memerintah negara selama 22 bulan dahulu.
Presiden Parti Amanah Negara itu secara terbuka mendedahkan dalam sidang Dewan Rakyat pada 9 Ogos 2018 bahawa kedudukan Malaysia dari segi ketenteraan adalah yang paling bawah di Asia Tenggara.
Sewajarnya semua pihak khususnya pemimpin-pemimpin PH, menghentikan pertikaman lidah berhubung perolehan LCS kerana ia tidak membantu dalam menyelesaikan isu tersebut yang sepatutnya ditangani secara dalaman oleh mereka yang benar-benar berkepentingan dan berkepakaran. – MalaysiaGazette