KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO), Media Tentera Rakyat (MTR) bersedia untuk menjadi penyelaras bagi menyahut seruan kerajaan yang mahu golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen terlibat dalam bidang pertanian,
Presidennya, Mejar (B) Zamri Abdul Rahman berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan agar veteran ATM supaya bercucuk tanam.
Bagaimanapun, katanya, kenyataan Hishamuddin itu tidak jelas tentang bagaimana veteran mahu melaksanakannya dan bagaimana mereka akan dibantu oleh kerajaan bagi tujuan itu.
“Veteran yang tidak berpencen ini kebanyakannya orang kampung, mereka memang punya kemahiran untuk membuat kerja-kerja bercucuk tanam.
“Tapi mereka ini tidak ada modal dan kebanyakannya tergolong dalam kumpulan B40. Mereka perlu dibantu dengan sekurang-kurangnya diberi modal untuk memulakan usaha tersebut.
“Jadi, mereka sangat berharap agar kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan dapat memberikan bantuan supaya apa yang dihasratkan dapat dilaksana dengan jaya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Zamri berkata, bagi tujuan itu, MTR yang mempunyai keahlian seramai 100,000 orang veteran ATM terdiri daripada bekas anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menawarkan diri untuk menjadi penyelaras kepada usaha tersebut.
Katanya, matlamat untuk menjadikan veteran ATM terlibat dengan pertanian hanya akan tercapai jika ada pihak yang menyelaras, menguruskan serta memantau perjalanan usaha berkenaan supaya tidak menjadi seperti ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Ujarnya, perkara itu perlu kerana jumlah veteran yang ada bukan sedikit dan ia memerlukan satu pihak untuk mengawal selia dari peringkat permulaan hingga tanaman mereka mengeluarkan hasil.
“Sekiranya ada peruntukan diberi, MTR boleh menyelaras peruntukan itu untuk diagih-agih kepada petani veteran berkenaan dengan syarat-syarat yang mereka kena patuhi.
“Kita tidak boleh bagi peruntukan tersebut macam tu saja, sebaliknya kita buat dalam bentuk pinjaman yang mereka perlu bayar balik.
“Dengan cara ini, ramai veteran ATM yang tidak berpencen boleh terlibat dengan bidang pertanian sekaligus menjadi penyumbang kepada usaha meningkatkan sekuriti makanan negara sebagaimana dikehendaki oleh kerajaan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Zamri berkata, pelaksanaan kepada usaha tersebut boleh menggunakan kaedah pemberian geran pinjaman dengan pemantauan agar tidak berlaku ketirisan.
Jelasnya, cara tersebut lebih selamat dan komprehensif kerana setiap pelaburan akan dapat dikutip kembali dan boleh diberi kepada peminjam yang lain.
“Nak buat apa sahaja mesti ada kaedahnya tapi tidaklah terlalu menyukarkan.
“Dengan cara ini ia boleh memberi satu situasi menang-menang dimana matlamat untuk membebaskan golongan veteran tidak berpencen daripada dihimpit kemiskinan dapat dirungkai dengan cara berkesan,” tambahnya. – MalaysiaGazette