Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan isu kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mempersoalkan kewibawaan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Perdana Menteri itu turut menggunakan isu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini untuk mempersoalkan sama ada rakyat akan terus mempercayai parti Barisan Nasional pada pilihan raya umum (PRU) nanti.

“Pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu amat mengejutkan kita.

“Bantahan ini walau bagaimanapun tidak diendahkan oleh Menteri Pertahanan. Untuk rekod Menteri Pertahanan pada ketika itu ialah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada masa ini.

“Inilah pemimpin BN yang akan mengetuai parti itu dalam PRU-15. Jika inilah hakikatnya, adakah rakyat Malaysia akan mempercayai mantra yang akan dibawa oleh BN dalam PRU akan datang?” tanya Muhyiddin.

Presiden Bersatu itu turut mendesak Kabinet supaya mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan kapal LCS TLDM.

Sementara itu dalam kenyataan yang disiarkan di media sosialnya sempena genap dua tahun penubuhan PN, Muhyiddin berkata, parti itu akan terus komited terhadap falsafah perjuangan Prihatin Rakyat.

“Hanya kerajaan yang dibentuk oleh gabungan parti yang terbukti mengutamakan rakyat melalui dasar-dasar yang prihatin terhadap nasib rakyat jelata akan dapat mengemudi negara ke arah masa depan yang lebih stabil, makmur dan sejahtera.

“Parti-parti politik yang hanya mengutamakan kepentingan segelintir individu dan puak tidak akan dapat meletakkan kepentingan rakyat di hadapan segalanya.

“Mereka juga tidak akan berjaya mewujudkan kestabilan politik selagi mana kepentingan individu dan puak tidak dapat penuhi,” kata Muhyiddin.

Katanya, PN yang dianggotai oleh Bersatu, Pas, Gerakan, STAR dan SAPP adalah sebuah gabungan politik nasional yang akan terus memperjuangkan nasib rakyat jelata tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah.

Parti itu katanya, akan mentadbir negara dengan penuh berintegriti. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast