Air mencurah-curah di tangga kawasan metri di Seoul. Foto KoreaTimes

SEOUL – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan sembilan lagi cedera apabila banjir melanda beberapa bahagian di Seoul.

Hujan lebat pada malam Isnin menenggelamkan jalan raya, membanjiri stesen metro dan menyebabkan di seluruh bandar dan wilayah lumpuh.

Beberapa kawasan menerima kadar hujan tertinggi dalam tempoh 80 tahun, kata agensi meteorologi Korea dan dijangka berterusan selama beberapa hari.

Sebahagian daripada Seoul, bandar pelabuhan barat Incheon dan wilayah Gyeonggi yang mengelilingi Seoul mencatatkan taburan hujan melebihi 10 sentimeter (cm) sejam pada malam Isnin, menurut agensi berita Yonhap.

Kira-kira 80 bahagian jalan termasuk  tiga jalan bawah tanah dan 26 tempat letak kereta di tepi sungai telah disekat demi keselamatan.

Kemasukan ke empat taman gunung negara, termasuk Gunung Bukhan di pinggir utara Seoul turut dihalang.

Sebanyak 19 laluan feri penumpang juga tidak beroperasi pada hari Selasa.

Pihak berkuasa bomba turut menyelamatkan 88 orang daripada aliran banjir di Gyeonggi dan kawasan lain, kata kerajaan.

Sementara itu, daerah Dongjak di Seoul merekodkan lebih 141.5 milimeter hujan sejam – kadar tertinggi sejak 1942, menurut Agensi Meterologi Korea (KMA).

Imej yang dirakam menunjukkan air mencurah-curah menuruni tangga metro, kereta yang diparkir tenggelam dan orang ramai terpaksa menyeberangi jalan dalam air setinggi lutut.

Sekurang-kurangnya lima orang maut di Seoul dan dua lagi di wilayah Gyeonggi setakat pagi Selasa, menurut Ibu Pejabat Pencegahan Bencana dan Keselamatan Pusat Korea Selatan.

Agensi itu berkata, empat maut selepas terperangkap dalam bangunan banjir, seorang terkena renjatan elektrik, seorang ditemui di bawah serpihan perhentian bas dan seorang lagi maut dalam tanah runtuh.

Sekurang-kurangnya sembilan yang lain cedera dan enam yang lain dilaporkan hilang. – Agensi