Najib Razak

KUALA LUMPUR – Serangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap projek kapal tempur pesisir (LCS) menyeret perbahasan terhadap keputusan mereka membenarkan empat kapal pesisir tentera (LMS) yang dibeli dari China dibina di negara berkenaan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan PH pada 2019 itu sebagai tidak bijak, berfikiran sempit dan tidak berpandangan jauh.

Menurut Najib, pada April 2017, kerajaan Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk membeli empat LMS dari negara China dengan harga RM1.17 bilion.

BN memutuskan dua dibina di China manakala dua lagi dibina Malaysia oleh syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS).

“Tapi pada bulan Oktober 2018, Menteri Kewayangan (Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika itu) dengan persetujuan Mat Sabu telah mengarahkan bahawa keempat-empat kapal itu akan dibina di China – bukan dua buah di sana dan dua buah di sini lagi.

“Dengan ini, mereka dapat menjimatkan RM122 juta kerana kos kontrak akan turun ke RM1.048 bilion.

“Pandai tak Menteri Kewayangan dan Mat Sabu ini? Telah jimat RM122 juta wang rakyat. Pandai apa? Syarikat Boustead ini milik siapa? Milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya.

Najib menjawab kenyataan Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching yang meminta penjelasan mengapa bekas Perdana Menteri itu memberi layanan “istimewa” kepada BNS yang merupakan kontraktor utama projek LCS.

Menurut Najib, sekiranya dua kapal LMS dibina Malaysia, ia akan memberikan peluang pekerjaan kepada anak tempatan selain pemindahan teknologi yang boleh dipelajari oleh rakyat tempatan.

Boustead pula akan mendapatkan keuntungan dan membayar dividen kepada LTAT yang kemudiannya dialirkan kepada ahli-ahlinya.

“Sekarang limpahan ekonomi dan kitaran wang semua ada di negara China. Kita pengguna sahaja. Perlu bergantung penuh kepada negara lain.

“Boustead kehilangan peluang. LTAT dan ahli-ahli mereka tak mendapat. Pandai apa Mat Sabu dengan Menteri Kewayangan itu? Takkan benda-benda simple macam ini pun dia tak tahu?

“Saya pasti negara China bergelak tertawa atas langkah kerajaan PH kita. Sebab kita cuma menjadi sekadar pengguna,” kata Najib.

Sementara itu, menurut Najib, pembinaan LCS telah membuka peluang kerja teknikal dan kejuruteraan kepada hampir 3,000 jurutera dan lebih 400 vendor tempatan dalam pelbagai bidang.

Dengan nilai projek lebih RM4 bilion ribuan lagi peluang pekerjaan ditawarkan di syarikat vendor.

“Sebab BNS bukan kroni sesiapa tetapi milik LTAT. LTAT pula milik setiap anggota tentera. Tapi saya anggap LTAT adalah kroni saya sebab anggota tentera dan rakyat adalah kroni saya.

“Sebab saya mahu negara saya mempunyai eko-sistem kepakaran dan kelengkapan untuk membina dan menyelenggara kapal perang kita tanpa bergantung kepada negara-negara lain – sekaligus menaikkan tahap keselamatan negara.

“Sebab saya mahu LTAT untung dan dividen dan bonus LTAT tetap tinggi mencecah lebih 10 peratus setiap tahun – bukan ciput macam kadar 2 peratus dan 2.5 peratus sebaik sahaja kerajaan PH mengambil alih,” katanya.

Sekali lagi, Najib menegaskan, BNS satu-satunya syarikat di Malaysia yang mempunyai dockyard dengan kelengkapan untuk pembinaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia. – MalaysiaGazette