Datuk Kamaruddin Jaffar.
Kamaruddin Jaffar

KUALA LUMPUR – Malaysia bersama 57 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi untuk berkecuali ke atas resolusi menggantung keahlian Rusia dalam Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) pada 7 April lalu.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, pendirian Malaysia itu dinyatakan melalui kenyataan akhbar Kementerian Luar Negeri kelmarin.

Menurut beliau, Malaysia sentiasa mengisytiharkan pendiriannya bahawa prinsip asas integriti wilayah serta kedaulatan sesebuah negara seharusnya tidak dicabuli oleh mana-mana negara.

Sebarang pertikaian perlu diselesaikan secara aman demi mengekalkan keamanan dan keselamatan sejagat, katanya.

“Malaysia sentiasa prihatin dengan perkembangan terkini yang berlaku di kawasan konflik terutama situasi kemanusiaan yang amat membimbangkan.

“Bagaimanapun, Malaysia juga khuatir sekiranya sebarang keputusan dibuat tanpa mengambilkira proses yang sewajarnya terlebih dahulu, ia akan dijadikan sebagai agenda politik sesetengah pihak yang akan mengeruhkan lagi keadaan dan tidak membantu dalam mencari jalan penyelesaian damai yang berkesan,” katanya dalam jawapan di Dewan Negara di sini hari ini.

Menurut Kamaruddin, sebagai ahli MHAM, Malaysia berpegang kepada prinsipnya yang tidak menyokong pempolitikan isu-isu di majlis tersebut.

Selain itu, jelas beliau, Malaysia percaya tindakan menggantung keahlian Rusia dalam MHAM adalah tidak konstruktif kerana perkara itu tidak akan memperbaiki keadaan di Ukraine dan hanya mengasingkan negara itu dengan lebih jauh.

“Usaha untuk mengasing atau menyingkirkan Rusia dari organisasi antarabangsa ini bertentangan dengan prinsip multilateralisme yang menekankan kerjasama dan penglibatan secara inklusif oleh semua pihak,” katanya.

Beliau menjelaskan, hampir 65 tahun menganggotai pertubuhan itu, Malaysia kekal komited memperjuangkan agenda keamanan sejagat selaras dengan prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB.

“Malaysia percaya semua pihak perlu berpegang kepada prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa sebagai panduan untuk mewujudkan hubungan baik antara negara demi memastikan hidup secara bersama dalam budaya damai. – MalaysiaGazette