KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada menerima maklumat dan aduan yang membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) termasuk di Pahang.

Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Nor berkata, sejak 2018 hingga kini pihaknya menerima sebanyak 21 aduan melibatkan 14 maklumat salah guna kuasa, enam menerima rasuah dan satu berkaitan tuntutan palsu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Antirasuah dan Tadbir urus Dana Kerajaan di Kalangan Pengerusi JPKK yang diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) hari ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Nor

Mengulas lanjut, Razim berkata, kesemua maklumat dan aduan yang diterima itu, satu kes telah selesai dan dituduh di mahkamah manakala dua kes masih dalam siasatan dan 13 kes tiada tindakan lanjut.

Justeru, katanya, SPRM mengambil pelbagai usaha untuk mendekati semua golongan masyarakat bagi memastikan mesej anti rasuah disebarkan secara menyeluruh dengan penganjuran program yang dihadiri lebih 200 orang Penghulu dan Pengerusi JPKK pada hari ini.

“Program ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada JPKK untuk sentiasa memelihara sokongan masyarakat kepada SPRM dalam agenda memerangi jenayah rasuah.

Tambah Razim, JPKK memainkan peranan penting untuk memastikan tiada rakyat yang tertinggal atau terpinggir untuk mendapatkan bantuan yang disediakan kerajaan, terutamanya semasa bencana seperti banjir, kebakaran dan tanah runtuh.

Sementara itu, Penghulu Mukim Kuala Kuantan 2, Roslan Ahmad ketika ditemui berkata, program yang julung kali diadakan di Pahang itu merupakan inisiatif yang baik untuk menangani gejala rasuah peringkat akar umbi.

Penghulu Mukim Kuala Kuantan 2, Roslan Ahmad

“Contohnya, bantuan banjir seperti bantuan biskut. Sepatutnya sampai kepada rumah yang terjejas akibat banjir tapi, bila tiada integriti, barang itu akan pergi ke tempat lain, tidak sampai kepada golongan yang sepatutnya.

“Sebab itu saya kata integriti juga perlu kita tanamkan kepada pemimpin-pemimpin di akar umbi ini,” katanya.

Penghulu Mukim Pahang Tua, Pekan, Rohaizat Abdul Aziz pula mendedahkan ramai dalam kalangan masyarakat di kampung yang tidak menyedari terlibat dengan rasuah.

Penghulu Mukim Pahang Tua, Pekan, Rohaizat Abdul Aziz

“Contoh apabila ada orang atau syarikat datang nak minta atau cari tanah. Dia tunjukkan tanah dan dia dihulurkan dengan hadiah. Dia tak sedar ia satu kesalahan sebenarnya,” jelasnya.

Justeru, Rohaizat berkata, dengan program yang dianjurkan itu, masyarakat dapat lebih pendedahan dan lebih berpengetahuan dalam membezakan antara kesalahan rasuah atau sebaliknya.- MalaysiaGazette