KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bersetuju dengan cadangan Pergerakan Pemuda UMNO agar kerajaan memperkenalkan mekanisme pendaftaran vokasional baharu bagi penunggang p-hailing.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mekanisme itu tidak akan membebankan penunggang p-hailing dan termasuk memberi moratorium atau caj paling minimum dan nominal.
“Rekod ini penting bagi memastikan kerajaan punya mekanisme untuk menyalurkan apa jua bantuan secara efektif dan melakukan kawal selia aspek kebajikan penghantar,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau mengulas pertemuannya dengan Ka Siong bagi membincangkan isu-isu berkaitan kebajikan penunggang p-hailing hari ini.
Terdahulu, Ka Siong memberi jaminan pelaksanaan lesen memandu vokasional (GDL) tidak akan dikuatkuasakan terhadap penunggang p-Hailing.
Selain itu, Asyraf menambah, wakil Persatuan Penghantar Malaysia (Penghantar) akan dilibatkan dalam sebarang jawatankuasa bertindak atau libat urus Kementerian Pengangkutan yang melibatkan pindaan akta-akta berkaitan menyentuh hak, kebajikan dan kepentingan penunggang P-hailing.
Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan juga bersetuju mengambilkira Pelan Penambahbaikan Eko-Sistem Ekonomi Gig P-hailing yang dibangunkan bersama oleh Pemuda UMNO, Penghantar dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Antara cadangan lain yang dibentangkan adalah penetapan harga lantai kadar upah bayaran perkhidmatan pengambilan dan penghantaran pesanan, menambah baik sistem peta digital dalam aplikasi syarikat penyedia dan meningkatkan pelan keselamatan operasi rakan penghantar p-hailing.
Selain itu, syarikat penyedia turut digesa menyediakan pelan perlindungan kemalaangan serta telus dalam terma dan syarat tuntutan.
Pergerakan Pemuda UMNO, Penghantar dan MTUC juga mencadangkan agar semua penunggang P-hailing diwajibkan mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO dan kerajaan memberi insentif sebanyak 80 peratus. – MalaysiaGazette