Kim Jong Un. foto Reuters

SEOUL – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengisytiharkan kemenangan negara itu melawan Covid-19.

Susulan itu, Jong-un mengarahkan penarikan langkah anti-wabak maksimum yang dikenakan pada bulan Mei, sambil menambah Korea Utara mesti mengekalkan “penghalang anti-wabak yang kukuh  sehingga berakhirnya krisis kesihatan global itu, menurut laporan  agensi berita KCNA.

Kakak kepada pemimpin itu, Kim Yong-jong mendedahkan, Jong-un mengalami demam semasa dijangkiti Covid-19.

Kim Yong-jong bagaimanapun menyalahkan Korea Selatan kerana wabak Covid-19 merebak ke negara itu.

Bagaimanapun, Korea Selatan menolak dakwaan itu sebagai tidak berasas.

Pyongyang cukup berahsia dalam mengumumkan wabak Covid-19 pertamanya pada bulan Mei dan telah melaporkan kes jangkitan demam dan kematian sejak itu.

Tetapi terdapat keraguan yang meluas terhadap data, terutamanya jumlah kematian yang rendah.

Dalam ucapannya pada satu majlis, Yong-jong mendakwa Korea Selatan menyebarkan Covid-19 ke Korea Utara dengan menghantar risalah anti-Pyongyang merentasi sempadan.

Aktivis di Korea Selatan telah melakukan ini selama beberapa dekad, menggunakan belon untuk mengapungkan risalah propaganda ke Korea Utara, walaupun amalan itu diharamkan tahun lepas.

Yong-Jong mendakwa penghantaran risalah sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan”, dan menyebut “bahaya penyebaran penyakit berjangkit melalui objek tercemar”, menurut agensi berita negara KCNA.

Dia memberi amaran bahawa Korea Utara sedang mempertimbangkan “tindak balas balas yang kuat”.

Dalam ucapannya, Yong-jong berkata: “Walaupun dia (Jong-un)  serius sakit kerana demam panas namun dia tidak boleh berbaring walaupun sejenak kerana memikirkan rakyat yang dia perlu jaga sehingga ke penghujungny perang anti-wabak”.

Korea Utara merujuk kepada “demam” dan bukannya pesakit koronavirus kerana kekurangan peralatan ujian.

Korea Utara tidak melaporkan sebarang kes baharu yang disyaki sejak 29 Julai – tetapi pemerhati antarabangsa mengatakan negara itu mempunyai ujian terhad.

KCNA mendakwa terdapat 4.8 juta jangkitan sejak akhir April, tetapi hanya 74 kematian, yang merupakan kadar kematian 0.002% – yang terendah di dunia.

Ramai pakar mendapati statistik ini sukar dipercayai kerana negara itu mempunyai salah satu sistem penjagaan kesihatan terburuk di dunia dengan memiliki beberapa unit rawatan rapi dan tiada ubat atau vaksin rawatan Covid-19.

Negara itu juga tidak melancarkan sebarang program vaksinasi semasa pandemik, sebaliknya bergantung pada sekatan dan rawatan tempatan. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast