Bantuan Wang Ihsan flood victims
Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Kontrak Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) disambung dua tahun lagi mulai 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024, kata Pejabat Perdana Menteri.

Pelantikan semula beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pelantikan semula Mohd Zuki Ali adalah atas kepentingan negara kerana perkhidmatan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara masih diperlukan.

Mohd Zuki Ali, 60, yang dilantik sebagai KSN sejak 31 Disember 2019 merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Selain itu, beliau pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. – MalaysiaGazette