DBKL melancarkan Ops bersepadu di pusat hiburan dan kelab malam. Foto ihsan DBKL

KUALA LUMPUR – Seramai 49 individu termasuk wanita yang meminum arak selepas berkunjung dan berhibur di sebuah pusat hiburan di ibu negara dicekup pihak berkuasa dalam serbuan awal pagi tadi.

Kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut dan telah diberikan Surat Perintah Hadir (SPH) ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 559) untuk membantu siasatan lanjut.

Selain JAWI, operasi yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan (JIM).

DBKL menerusi satu kenyataan berkata, Operasi Bersepadu Premis Hiburan Siri 6/2022 dilakukan di sekitar Jalan Kia Peng dan Jalan Metro Pudu, Kuala Lumpur pada tengah malam tadi dan berakhir pada jam 4 pagi.

Anggota penguatkuasa menjalankan ujian alkohol ke atas seorang wanita di premis kelab malam di Kuala Lumpur. Foto ihsan DBKL.

“Hasil pemeriksaan yang telah dijalankan di tujuh buah premis hiburan, DBKL telah mengenakan tindakan penutupan (sealed) serta merta dan sita peralatan terhadap satu premis di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

“Satu kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan (muzik) tanpa kebenaran dan satu notis di bawah Kaedah 29(2), Kaedah-Kaedah Hiburan (WPKL) 1993 telah dikeluarkan kerana membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis hiburan (kelab malam),” kata DBKL dalam kenyataan tersebut.

DBKL turut mengeluarkan 1 notis kompaun di bawah UUK 5(1), Undang-Undang Kecil Iklan (WPKL) 1989 kerana mempamerkan iklan premis tanpa lesen.

Dalam operasi sama, DBKL turut menyita pelbagai peralatan muzik.

Sementara itu, pasukan penguatkuasa bersepadu DBKL yang turut membuat semakan dan pemeriksaan terhadap 90 orang pengunjung dan pelancong yang berada di premis hiburan tersebut melibatkan warga negara asing dan warga negara tempatan.

Pemeriksaan ke atas para pengunjung kelab malam oleh pihak berkuasa. Foto ihsan DBKL

“Dalam pada itu, kesemua peralatan muzik telah di hantar ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara.

“Tindakan penguatkuasaan bersepadu ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan bandaraya ibu kota kekal aman dan selamat,” kata DBKL. – MalaysiaGazette