NEW JERSEY – Johnson & Johnson (J&J) akan berhenti membuat dan menjual bedak bayi berasaskan talkum di seluruh dunia mulai tahun depan.
Pengumuman itu dibuat lebih dua tahun selepas firma gergasi penjagaan kesihatan itu menamatkan jualan produk itu di Amerika Syarikat (AS).
J&J menghadapi puluhan ribu saman dalam kalangan wanita yang mendakwa bedak talkumnya mengandungi asbestos yang menyebabkan kanser ovari.
Tetapi syarikat itu mengulangi pandangannya bahawa sejak berdekad penyelidikan mendapati produk tersebut selamat digunakan.
“Sebagai sebahagian daripada penilaian portfolio di seluruh dunia, kami telah membuat keputusan komersial untuk beralih kepada portfolio serbuk bedak bayi berasaskan tepung jagung,” katanya dalam satu kenyataan.
Firma itu menambah, bedak bayi berasaskan tepung jagung sudah pun dijual di negara-negara di seluruh dunia.
Pada masa yang sama, J&J mengulangi pendiriannya bahawa bedak bayinya selamat digunakan.
“Kedudukan kami mengenai keselamatan bedak kosmetik kami kekal tidak berubah.
“Kami berdiri teguh di sebalik berdekad analisis saintifik bebas oleh pakar perubatan di seluruh dunia yang mengesahkan bedak bayi J&J berasaskan talkum selamat, tidak mengandungi asbestos dan tidak menyebabkan kanser,” katanya.
Pada tahun 2020, J&J berkata, ia akan menghentikan penjualan bedak bayi bedaknya di AS dan Kanada kerana permintaan telah menurun.
J&J mendakwa penurunan permintaan itu disebabkan “maklumat salah” tentang keselamatan produk di tengah-tengah beberapa kes undang-undang.
Pada masa itu, firma J&J berkata, ia akan terus menjual bedak bayi berasaskan talkum di UK dan seluruh dunia.
Talkum dilombong dari bumi dan didapati kandungannya hampir dengan asbestos, iaitu bahan yang diketahui menyebabkan kanser. – BBC