zuhdi marzuki
Dr Mohd Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR – Kegagalan UMNO dan Pas bermuafakat untuk mengelak pertembungan antara kedua-dua parti di 27 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh menyebabkan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, pada PRU-14, sebanyak 20 daripada 27 kerusi tersebut terlepas ke tangan PH sehingga membolehkan mereka membentuk kerajaan.

Menurut beliau, baki tujuh lagi kerusi adalah sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH pada PRU-15 memandangkan kekalahan mereka di kerusi-kerusi tersebut adalah sangat tipis.

“Mahu tidak mahu, UMNO dan Pas tidak boleh bertembung di kerusi-kerusi itu,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Walau bagaimanapun, Mohd. Zuhdi tidak menyatakan secara terperinci mengenai 27 kerusi tersebut.

Antara kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi PH pada PRU-14 ekoran pertembungan antara calon-calon Pas dan UMNO adalah Kangar, Kubang Pasu, Merbok, Kulim-Bandar Baharu, Tambun, Lumut, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Sepang, Setiawangsa, Titiwangsa, Kuala Pilah, Tampin, Tangga Batu, Ledang, Muar, Sri Gading, Pasir Gudang dan Pulai.

Tujuh kerusi Parlimen yang menyaksikan calon-calon UMNO serta Pas menang tipis adalah Jerai, Baling, Kuala Kangsar, Tanjong Karang, Jasin, Pontian dan Labuan.

Mohd. Zuhdi menyuarakan kebimbangan bahawa risiko untuk PH menang sekali lagi adalah tinggi ekoran perpecahan parti-parti Melayu kepada tiga gabungan iaitu BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Beliau membayangkan situasi mungkin menjadi lebih buruk berbanding PRU-14 yang menyaksikan wujud dua gabungan politik Melayu yang bertentangan iaitu BN dan Gagasan Sejahtera yang menghimpunkan Pas, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

“Oleh sebab itu, Muafakat Nasional (MN) dilihat boleh menjadi penyelamat iaitu sekurang-kurangnya boleh menafikan peluang untuk PH menang.

“Tidak dapat dinafikan buat masa ini, hasrat untuk membentuk kerjasama seperti yang digariskan di dalam Piagam MN masih jauh untuk dicapai, namun demikian usaha untuk menghalang PH menang tetap wajib diusahakan,” jelasnya.

Mohd. Zuhdi mencadangkan agar 27 kerusi berisiko tinggi itu dinamakan ‘kerusi MN’ sempena mengambil semangat penyatuan ummah yang digerakkan oleh bahtera besar MN.

“Di 27 kerusi MN ini, UMNO dan Pas perlu kembali ke meja perundingan untuk memastikan kedua-dua parti tidak bertembung satu sama lain.

“Malah, adalah terlebih baik di kerusi-kerusi MN ini, kedua-dua parti UMNO dan Pas boleh membentuk jentera bersama supaya calon mereka boleh menang selesa,” ujarnya.

Beliau juga yakin cadangan mewartakan 27 kerusi sebagai ‘kerusi MN’ boleh dipersetujui oleh parti-parti komponen BN dan parti-parti komponen PN yang lain.

Sebaliknya, kata Mohd. Zuhdi, ia pasti akan menjadi mimpi ngeri kepada PH disebabkan peluang untuk mereka menang di kerusi-kerusi itu menjadi malap.

“Menjelang tiga tahun penubuhan MN, pastinya ummah merasa lega sekiranya 27 kerusi ini dapat diselamatkan dan seterusnya PH akan gagal untuk menguasai Malaysia sekali lagi,” katanya. – MalaysiaGazette