KUALA LUMPUR – Penurunan nilai ringgit sebanyak 4.6% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua tahun 2022 (sejak awal tahun hingga 10 Ogos 2022: -6.3%) sejajar dengan pergerakan mata wang serantau (S2 2022: -4.7%; sejak awal tahun sehingga kini: -5.8%).
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, hal ini sebahagian besarnya mencerminkan pengukuhan dolar AS yang berterusan berikutan dasar monetari AS menjadi ketat secara agresif, penghindaran risiko pelabur yang meningkat disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang lebih lemah dan konflik ketenteraan di Ukraine.
Walau bagaimanapun, harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan ekonomi Malaysia telah mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit disebabkan oleh perkembangan luaran pada suku itu.
Pada masa hadapan, walaupun pasaran kewangan domestik akan terus bergantung pada beberapa tempoh volatiliti yang ketara, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat terus dibendung secara keseluruhannya.
Hal ini disokong oleh kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang mantap.
Menurut Bank Pusat itu, pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat sebanyak 4.9% (S1 2022: 4.5%) dalam keadaan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi (5.4%; S1 2022: 4.4%).
Pertumbuhan bon korporat terkumpul menjadi sederhana (3.4%; S1 2022: 4.6%) apabila pertumbuhan penebusan bon terus mengatasi pertumbuhan terbitannya.
Katanya, pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 5.5% (S1 2022: 4.3%), berikutan pengembangan yang kukuh bagi pengeluaran pinjaman untuk modal kerja dan pelaburan.
Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul terus meningkat (5.7%; S1 2022: 4.8%), dengan pertumbuhan yang lebih tinggi dicatatkan merentas semua tujuan pinjaman.
Pengeluaran pinjaman kekal mantap berikutan permintaan pinjaman yang kukuh, khususnya bagi pembelian kereta dan rumah.
Secara keseluruhan, bayaran balik pinjaman bagi segmen perniagaan dan segmen isi rumah adalah menggalakkan apabila berakhirnya program bantuan bayaran balik pinjaman dan pembukaan semula ekonomi. – MalaysiaGazette