Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan beramah mesra bersama Ahli Jawatankuasa Syariah PTPK selepas selesai Majlis Pelancaran Pinjaman Latihan Kemahiran Islamik (PLK-i) Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia meminta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) tidak bersaing dengan institusi kewangan lain dalam memberi pinjaman kepada pelajar.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, produk PTPK iaitu Pinjaman Latihan Kemahiran Islamik (PLK-i) bukan berasaskan keuntungan, sebaliknya membantu meringankan pelajar untuk menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran.

“Hari ini kita telah melancarkan PLK-i, yang mana peminjam tidak perlu membayar interest untuk 12 bulan pertama.

“Manakala PLK-i ini bukan program untuk orang Islam, semua kaum pun boleh buat pinjaman ini. Ia hanya berkonsepkan Islamik sahaja.

“Saya harap jangan ada yang salah faham dengan PLK-i ini. Sebagaimana bantuan pinjaman dari Bank Islam, PLK-i juga salah satu produk untuk mengurangkan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pinjaman Patuh Syariah (PLK-i) PTPK di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saravanan mencadangkan kepada PTPK agar mengambil kira perubahan yang sedang dan akan berlaku, yang menyaksikan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) akan membawa banyak perubahan.

Oleh itu, kata beliau, wajar PTPK untuk perlu mengenal pasti peluang yang ada dan lebih cerah untuk menggalakkan pelajar menyertainya.

“Sebab itu kita lihat satu masalah besar dihadapi oleh negara adalah tidak sepadanan dengan kerja, di mana mereka tidak dapat peluang kerja dalam bidang yang mereka belajar.

“Salah satu sebab perkara ini berlaku kerana kita tidak mengenal pasti program yang ada peluang lebih luas. Saya minta PTPK membuat kaji bagi sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ada masa depan.

“Contohnya, kita lihat IR 4.0 akan membawa segala-galanya untuk industri automasi dan robotik serta sebagainya, maka jadi tanggungjawab PTPK untuk mengkaji, janganlah menjadi sebagai institusi hanya memberi pinjaman kepada mereka yang perlukan,” katanya.

Beliau juga mahu PTPK mengenal pasti pinjaman itu relevan atau tidak dan sekiranya tidak, peminjam mungkin tidak dapat membayar balik

“Apa akan berlaku bidang yang diperolehi oleh penuntut, tapi tidak ada masa depan. Sudah pasti mereka akan gagal bayar balik.

“Ini akan memberi kesan pinjaman kepada orang lain. Oleh itu, tanggungjawab PTPK ialah perlu mengkaji, meneliti dan kalau boleh buat penyelidikan dan pembangunan, tengok sama ada sektor ini atau bidang ini relevan atau tidak,” katanya.

Menjawab soalan mengenai kekurangan tenaga kerja asing, M Saravanan memberitahu, setakat ini kerajaan tidak menghadapi masalah itu lagi.

Katanya, ini kerana semua 14 negara telah membuka ruang untuk mengambil pekerja asing termasuk Malaysia.

“Mereka yang sudah bayar levi, sila ke Pesuruhjaya masing-masing untuk mengambil dokumen,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast