Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas yang disyaki mendera anak angkat perempuannya diberkas polis di Tanjung Sepat, Kuala Langat tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Salehberkata, pihaknya telah terima laporan daripada Ketua Polis Balai Polis Tanjong Sepat Kuala Langat Selangor semalam yang menyatakan menerima satu rakaman video berdurasi 0.33 saat melalui aplikasi Whatsapp.

Tambah beliau, rakaman yang dihantar oleh orang awam itu  menunjukkan seorang perempuan dewasa sedang menarik rambut seorang kanak-kanak yang memakai pakaian seragam sekolah baju berwarna putih dan kain berwarna hijau dengan menggunakan tangan serta mengheret kanak-kanak tersebut di atas jalan berhadapan rumah suspek.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan Pentadbiran IPD Kuala Langat di Selangor dan suspek dipercayai perempuan warga tempatan dan mangsa adalah anak angkat berdaftar kepada suspek serta dipercayai tinggal bersama suspek sejak kecil dan kini berumur dalam lingkungan 10 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Ahmad Ridhwan, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat telah membuat serbuan di sebuah rumah yang diduduki suspek di Tanjung Sepat pada jam 12.10 tengah malam.

“Hasil serbuan pihak polis telah berjaya membuat tangkapan terhadap seorang perempuan warga emas tempatan berumur lingkungan 60-an disyaki melakukan jenayah penderaan itu.

“Semakan polis mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah atau dadah.

“Pihak polis juga telah berjaya menyelamatkan mangsa seorang kanak-kanak perempuan warga tempatan dan dihantar ke Hospital Banting, Selangor untuk mendapatkan rawatan dan Pegawai Perubatan Hospital Banting mengesahkan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala,” ujarnya.

Menurut beliau, hasil soal siasat awal terhadap suspek mendapati punca kejadian disebabkan mangsa telah beberapa kali mencuri wang milik suspek dan tujuan suspek berbuat demikian supaya mangsa tidak mengulangi perbuatan itu.

Suspek telah dirakam keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor usia dan kesihatan yang menghidap penyakit darah tinggi, jelasnya.

Mohd Ridhwan berkata, mangsa telah diletakkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. – MalaysiaGazette