Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

SEPTEMBER ini, parti MUDA bakal menginjak usia dua tahun. Parti yang diasaskan oleh ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas keluar daripada Bersatu, dikatakan untuk memperjuangkan golongan belia. Paling utama, Syed Saddiq menerusi parti MUDA mahu merevolusikan sistem pentadbiran negara. Persoalan yang timbul, adakah sebenarnya MUDA sudah mencapai apa yang dimahukan? Untuk menjawab persoalan berkenaan, mari kita rungkai kembali apakah yang berlaku sepanjang dua tahun penubuhan MUDA.

Meskipun penubuhan MUDA bermula sejak September 2020, namun parti itu hanya sah berdaftar di bawah ROS pada Disember 2021. Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum itu menolak pendaftaran MUDA kerana beberapa individu yang menjadi anggota jawatankuasa penaja MUDA melakukan kesalahan undang-undang. Antara kesalahan yang dilakukan oleh mereka adalah demonstrasi dan beberapa perkara yang melanggar undang-undang negara.

Sejak disahkan sebagai salah sebuah parti politik di negara ini, MUDA mula mengorak langkah dengan mencuba nasib bertanding pada Pilihan Raya Negeri Johor (PRN Johor). Langkah awal dilakukan oleh MUDA adalah melancarkan kempen dana SAPOT MUDA bagi meraih sumbangan sehingga RM1 juta. Walau bagaimanapun, langkah tersebut bukanlah kaedah yang boleh diguna pakai untuk jangka masa panjang. Sekiranya MUDA terus meminta dana orang ramai untuk bertanding pilihan raya, pasti akan menjengkelkan rakyat.

MUDA seharusnya mencari jalan lain untuk mendapatkan dana sendiri dan bukannya meminta ‘simpati’ orang ramai untuk ‘kepentingan politik sendiri’. Malahan, hanya seorang calon MUDA sahaja menang pada PRN berkenaan, sekali gus membuktikan MUDA sebenarnya bukan pilihan orang ramai untuk membawa suara rakyat. Meskipun sudah hampir dua tahun ditubuhkan, namun MUDA sebenarnya tiada asas perjuangan yang jelas atau berpendirian kukuh terhadap sesuatu isu. Malahan, wakil rakyat yang dipilih dalam kalangan MUDA hanya berani bersuara namun tidak melaksanakan sebarang tindakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sendiri. Mengambil contoh mudah, Setiausaha Agung MUDA, Amira Aisya Abd Aziz yang dipilih untuk menjadi wakil rakyat DUN ketika PRN Johor pada Mac lalu.

Kebakaran di Felda Tebrau yang mengakibatkan lima premis perniagaan musnah, tidak ditangani dengan baik oleh Amira Aisya. Tindakan dan alasan tidak profesional Amira Aisya pada ketika itu, mengecewakan orang ramai. Alasan yang mengatakan dia belum mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat disifatkan sebagai ‘lepas tangan’ oleh kebanyakan pihak. Hanya selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan turun padang meninjau dan memberi sumbangan kepada mangsa kebakaran, barulah Amira Aisya ‘tunjuk muka&#39. Amira Aisya pula mencetuskan kontroversi apabila dilihat mengkritik tahap pembangunan Kelantan, walhal isu DUN sendiri seperti masalah pencemaran Sungai Tebrau dan bau busuk loji kumbahan najis Taman Sinaran Kempas yang berlarutan sejak puluhan tahun dulu, tidak diselesaikan sejurus mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat.

MUDA merupakan parti yang sering terpalit dengan kontroversi sejak awal penubuhannya. Antara kontroversi yang melibatkan MUDA adalah khidmat guaman secara percuma yang diberikan kepada peserta demonstrasi di Johor pada Mei 2021. Langkah MUDA untuk membantu mereka tidak disambut baik segelintir pihak yang mengatakan parti itu sepatutnya memperjuangkan kepentingan belia. Malahan MUDA seolah-olah cuba ‘mempromosikan’ budaya melanggar prosedur operasi standard (SOP) di kala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada ketika itu.
Selain itu, MUDA juga terpalit dengan kontroversi minum arak dan bergaul secara bebas seperti yang tular pada awal tahun ini.

Beberapa keping gambar menunjukkan ahli-ahli MUDA sedang leka melakukan ‘kegiatan’ berkenaan tidak disenangi orang ramai yang mengecam tindakan mereka. Kenyataan Syed Saddiq yang mempertahankan kegiatan mereka disifatkan sebagai ‘dangkal’. Syed Saddiq pula terpalit dengan skandal pecah amanah melibatkan wang bernilai lebih RM1 juta. Skandal berkenaan mencemarkan nama baik MUDA yang baru sahaja bertatih dalam dunia politik. Jika dilihat secara zahirnya, hanya Syed Saddiq sahaja dikenali oleh rakyat dalam kalangan pemimpin MUDA.

Siapa lagi yang akan menjadi nakhoda MUDA jika Syed Saddiq disabitkan kesalahan dan terpaksa meringkuk dalam penjara? Rata-rata pemimpin MUDA tidak mempunyai pengalaman luas dalam dunia politik seperti Syed Saddiq. Kepercayaan rakyat kepada MUDA juga dilihat semakin berkurangan selepas skandal itu diketahui umum. Kalau ditanya apa pencapaian MUDA dalam tempoh dua tahun, sebenarnya tiada. MUDA belum mampu menjadi penggerak suara rakyat yang boleh dipercayai. Ditambah pelbagai kontroversi yang melanda parti tersebut, MUDA sepatutnya muhasabah diri dan lebih berhati-hati dalam segala langkah mereka. Untuk melihat MUDA sama ada boleh pergi jauh atau tidak dalam arena politik tempatan, hanya masa menentukan.

Haziq Aiman Ahmad

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast