CAMERON HIGHLANDS – Penjanaan elektrik berasaskan hidrogen dan ammonia memang memerlukan kos yang tinggi.
Ketua Pegawai Operasi (COO) TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Roslan Ab Rahman berkata, walaupun ia berpotensi tinggi untuk menggantikan tenaga elektrik yang dihasilkan menerusi arang batu.
Oleh itu, penggunaannya memerlukan kajian terperinci melibatkan pelbagai aspek, khususnya dari segi keperluan pada masa ini.
“Sekarang ini terdapat beberapa bahan api yang lebih mesra alam contohnya hidrogen dan ammonia dan ini adalah salah satu daripada cara kita boleh menggantikan kapasiti arang batu dalam memacu peralihan tenaga pada masa depan.
“Ia akan mengambil masa kerana pelan-pelan yang ada sekarang ini kita perlu selesaikan sehingga ia tamat perjanjian pembelian tenaga (PPA).
”Kedua, teknologi tenaga baharu masih lagi baharu dan belum matang lagi. Jadi, kajian sedang dijalankan dan dari segi kos masih tinggi, jadi kita perlu menunggu. Selain itu, kita juga perlu membuat permohonan daripada pihak yang berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Lawatan Media Ke Stesen-stesen janakuasa di Cameron Highlands (SSJCH) yang berlangsung selama dua hari, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Stesen Janakuasa Cameron Highlands, Sa’aidan Abu Hasan dan pengurusan tertinggi TNB Genco.
Dalam masa yang sama, Roslan berkata, penambahan pembukaan empangan untuk penjanaan hidroelektrik demi meningkatkan kapasiti bekalan elektrik juga tidak boleh dibuat dengan sewenangnya.
Jelas beliau, pembukaan empangan baharu melibatkan pelbagai kajian khususnya melibatkan impak alam sekitar.
“Untuk membina empangan, kita memerlukan satu Kajian Kesihatan dan Kesejahteraan (AIA) dan sebagainya. Memang ada kemungkinan itu, tetapi bila semua kawasan-kawasan ini telah dibina, kemungkinan itu makin lama makin berkurangan sebab ia adalah terlalu terhad bagi kawasan sungai yang kita ada sekarang ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette