Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan dan didagangkan antara paras 4.44 dan 4.46, kata seorang peniaga.

Penganalisis Pasaran ActivTrades, Alexander Londono berkata mata wang AS itu telah mencecah paras terendah dalam tempoh sebulan berbanding ringgit dengan mencapai di bawah paras 4.44 dan akan ditutup minggu ini dengan mencatat sedikit kerugian sebanyak 0.25 peratus.

“Pasangan dolar AS/ringgit telah meningkat sejak akhir bulan Jun tetapi menjelang pertengahan Julai, apabila ia mencapai melebihi paras 4.45, ia berada dalam mod konsolidasi dengan 4.46 bertindak sebagai paras rintangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dolar/ringgit telah didagangkan hampir tidak berubah antara tahap 4.46 dan 4.44.

“Data inflasi dari Amerika Syarikat telah melemahkan dolar berbanding mata wang utama lain dan juga terhadap mata wang sedang pesat membangun seperti ringgit,” tambahnya.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding dolar AS, kecuali pada Isnin kerana data ekonomi yang menggalakkan antaranya ialah Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua menyokong pengukuhan ringgit.

Pada Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.4435/4455 berbanding 4.4490/4520 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama kecuali berbanding pound Britain pada asas Jumaat ke Jumaat.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 3.3292/3310 daripada 3.3459/3484 sebelumnya dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3975/3999 daripada 5.3989/4025.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2406/2428 daripada 3.2330/2355 pada minggu sebelumnya dan susut berbanding euro kepada 4.5759/5780 daripada 4.5513/5544 sebelumnya. – BERNAMA