IPOH – Tanah runtuh atau banjir lumpur hingga menyebabkan penutupan jalan berisiko berlaku jika aktiviti pertanian haram khususnya di kawasan tanah tinggi tidak dipantau dan dikenakan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya melalui kerjasama antara agensi kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak berwajib sentiasa mencari jalan dalam mengurangkan risiko bencana akibat aktiviti pertanian haram tersebut.
“Contohnya, aktiviti pertanian haram di Lebuhraya Timur Barat apabila terdapat ladang pertanian yang memasuki rizab jalan sekali gus menyebabkan berlakunya takungan air hingga boleh menyebabkan runtuhan tanah atau terputus jalan.
“Ini akan menjejaskan infrastruktur yang telah disediakan (jalan raya). Ia antara lain akan mendedahkan tanah yang diambil dengan tidak mengikut standard ditetapkan itu kepada pelbagai risiko. Kita takut berlakunya banjir lumpur dan jalan terputus. Ini paling kritikal,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas meninjau Jalan Simpang Pulai-Blue Valley berdekatan Cameron Highlands sempena Program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di sini hari ini.
Beliau berkata kerja pembaikan di kawasan tersebut telah dimulakan pada 1 Julai lepas dengan kos dianggar RM122 juta melibatkan pembaikan tanah, pemasangan cerucuk, pemasangan tembok bertetulang dan rasuk serta kerja-kerja berkaitan, kesemuanya dijangka siap pada Jun 2025.
Bagi kawasan Seksyen 27 pula, Fadillah berkata, kerja pembaikan cerun telah dimulakan pada Januari dan dijangka siap pada November ini dengan kos RM8.6 juta melibatkan pelbagai kaedah pembaikan seperti kerja tanah dan penanaman rumput.
“Cabarannya (kerja pembaikan cerun) adalah untuk kenal pasti aliran bawah tanah. Kalau tidak diuruskan dengan baik, sistem sedia ada akan lemah sehingga menyebabkan jalan terputus. Kita merancang untuk memanggil pakar dari Jepun bagi melihat perkara ini termasuk membuat perancangan agar infrastruktur jalan tidak terjejas,” katanya. – BERNAMA