Gambar hiasan

PADA 27 Julai 2022 yang lepas, Rang Undang-undang (RUU) Generasi Penamat (Generational Endgame; GEG) telah dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin lalu dipersetujui oleh Dewan Rakyat untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) bagi memperhalusi dan menambahbaik usul tersebut. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat mendapat tekanan hebat termasuk daripada kalangan ahli parlimen sendiri dalam meluluskan RUU ini. Langkah KKM membentangkan usul ini seharusnya disokong oleh segenap lapisan masyarakat.

Dari aspek kesihatan penglihatan, rokok merupakan antara punca kebutaan yang mana penglihatan berisiko untuk hilang disebabkan pelbagai penyakit mata berkait rokok yang dihidapi. Kesan kepada tahap penglihatan akibat merokok menjadi cabaran kepada pakar mata di mana rawatan yang diberikan bertambah rumit dan kompleks. Kos merawat penyakit-penyakit tersebut juga menelan belanja yang besar, sedangkan ianya boleh dicegah daripada awal jika ada di sana kehendak pimpinan yang kuat serta inginkan tahap kesihatan penglihatan yang optimum pada rakyat.

Kesihatan mata dan tahap penglihatan yang terang adalah sangat utama bagi memastikan kita dapat bergerak cergas. Pada ketika ini, Bancian Mata Kebangsaan Ke-2 (2014) menyatakan kadar kebutaan di kalangan masyarakat berumur 50 tahun ke atas di Malaysia adalah sebanyak 1.2%, di mana majoriti kes adalah disebabkan katarak (58%), diikuti pula Diabetik Retinopati (10%), serta lain-lain penyakit. Rokok merupakan antara faktor yang menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada penyakit-penyakit mata tersebut. Di samping itu, perokok juga berisiko mengalami strok mata (ocular ischemia), kemerosotan makula (Age-related Macula Degeneration), dan penyakit tiroid mata (Graves Ophthalmopathy). Terdapat juga laporan-laporan kes di mana rokok berisiko menjuruskan seseorang itu menghidap penyakit glaukoma, kanser mata, juling, serta mata malas.

Kanta pada mata kita boleh terdedah kepada kesan oksidatif yang berpunca daripada merokok di mana fungsi kanta menyahkan bahan oksidatif berkurangan lalu menjuruskan perokok kepada penyakit katarak. Bahan logam berat dalam rokok sepereti kadmium, plumbum, dan kuprum juga boleh termendap di dalam kanta dan merubah ia menjadi struktur yang toksik. Merokok juga boleh menyebabkan sel-sel darah menjadi lebih pekat, lalu pembuluh darah berisiko untuk tersumbat. Hal ini dirumitkan lagi dengan kesan bahan kandungan nikotin di dalam rokok yang boleh mengecutkan saluran darah lantas merencatkan pengaliran darah ke mata. Kepekatan karbon monoksida dalam darah juga turut mengurangkan kapasiti sel darah merah dalam membawa oksigen ke arah mata. Pembuluh darah juga lebih mudah rosak dan keras (atherosclerosis) jika seorang perokok itu turut menghidapi penyakit kolestrol.

Faktor-faktor ini seterusnya menyumbang kepada keadaan mata yang hipoksia lalu strok boleh terjadi pada urat saraf mata (ischemic optic neuropathy) dan juga salur darah mata (retinal vascular occlusion). Masalah aliran pada salur darah koroid (choroidal vessel), ditambah pula dengan kehadiran bahan-bahan oksidatif akibat merokok turut menjejaskan fungsi pusat peka cahaya pada mata iaitu makula. Makula lantas boleh merosot terutamanya pada mereka yang agak berusia, lantas pesakit berisiko untuk buta. Keadaan ini dipanggil ‘Age-related Macula Degeneration’ di mana kos rawatan yang terbeban adalah tinggi kerana pesakit perlu menerima ubat suntikan mata yang mahal harganya.

Bagi mereka yang menghidap penyakit tiroid mata, merokok boleh menjadikan keadaan bertambah parah serta merencatkan kadar pemulihan serta membantutkan rawatan yang diberi. Ini berikutan perubahan terhadap hormon tiroid yang terjejas secara langsung akibat bahan kandungan dalam rokok, lalu menyebabkan keradangan dan kecederaan kepada otot-otot mata. Jika keadaan berterusan, penghidap penyakit ini berisiko mengalami kerosakan pada urat saraf mata, glaukoma, serta ulser pada kornea.

Kesemua penyakit-penyakit tersebut mampu merosotkan tahap ketajaman penglihatan sesorang, lantas menghadkan jarak penglihatan mereka atau lebih teruk lagi  membutakan langsung mata mereka. Kesan jangka panjang daripada sudut ekonomi dan pembangunan bakal ditanggung oleh negara jika perkara ini dibiarkan tanpa ada di sana kaedah pencegahan yang tuntas iaitu dengan menghindari bahaya rokok. Justeru itu, semua pihak daripada peringkat akar umbi hingga ke pucuk pimpinan kerajaan perlu memainkan peranan serta berganding bahu bagi memastikan RUU ini diluluskan pada akhirnya. Kita berharap agar generasi hari ini serta yang akan datang dapat berfungsi secara optimum dan terus menyumbang kemahiran mereka di samping dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih terurus dengan adanya tahap penglihatan yang baik.

Dr. Syamil Salmi
Pakar Oftalmologi
Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)