KUALA LUMPUR – Kempen pengharaman racun perosak Carbofuran dan Chlorpyrifos untuk sektor pertanian yang akan berkuatkuasa pada 1 Mei 2023 merupakan program yang amat penting kepada semua pihak berkepentingan.
Sehubungan itu, semua pihak harus bersedia dan mengambil tindakan serta langkah-langkah pencegahan kepada penggunaan, pengilangan, penjualan serta pengedaran racun perosak itu.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, selain sekuriti makanan, isu keselamatan makanan juga sering menjadi topik utama yang dipandang serius oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
“Pengeluaran hasil pertanian yang selamat dan berkualiti akan mengambil kira aspek kebajikan, keselamatan, kesihatan pekerja dan pemeliharaan alam sekitar.
“MAFI melalui Jabatan Pertanian sangat menggalakkan petani mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) di ladang melalui pensijilan myGAP dan myOrganic agar hasil pertanian yang berkualiti dan selamat dapat dihasilkan untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan dan eksport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan memberitahu, Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) selaku urus setia dalam melaksanakan Akta Racun Makhluk Perosak 1974 dari semasa ke semasa telah mengkaji dan melihat perkembangan antarabangsa dalam industri racun makhluk perosak berpandukan tindakan diambil oleh negara-negara maju.
Katanya, lembaga tersebut turut melihat pandangan serta syor daripada pertubuhan antarabangsa demi kepentingan negara.
Sehubungan itu, LRMP telah mengambil keputusan untuk membatalkan pendaftaran racun makhluk perosak carbofuran dan chlorpyrifos untuk kegunaan sektor pertanian di negara ini bermula 1 Mei 2023. – MalaysiaGazette