KUALA LUMPUR – Kerajaan kini memberi fokus menangani isu-isu rakyat termasuk kos sara hidup serta harga barangan dan isu pertemuan dengan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini sepatutnya tidak ditimbulkan lagi, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, para menteri kini lebih mengutamakan untuk menyelesaikan isu-isu yang membebankan rakyat.
“Isu harga barang yang selama ini kata naik itu, atas campur tangan kerajaan, harga ayam sudah turun, lambakan ayam besar, walaupun kita tetapkan harga siling RM9.40 tapi ada juga turun harga sehingga RM7.
“Minyak sawit dah turun harga, harga minyak masak belum turun, itu fokus itu,” katanya selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), di sini, hari ini.
Tambah beliau, melalui Jawatankuasa Jihad Tangani Inflasi, harga minyak masak telah turun.
Ismail Sabri berkata, selain itu beliau telah minta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna KPDHEP menyenaraikan barangan yang harganya masih belum turun. – MalaysiaGazette