Bank Bergerak Bank Muamalat.

KUALA LUMPUR – Bank Muamalat telah melancarkan Bank Bergerak untuk bertemu bagi menawarkan perkhidmatan perbankan kepada para pelanggan baharu dan sedia ada, terutama yang tinggal di kawasan pedalaman atau kawasan yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan kewangan yang mencukupi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pelancaran perkhidmatan Bank Bergerak bertujuan menggalakkan penduduk kawasan luar bandar untuk menerima pakai perkhidmatan kewangan digital seperti perbankan internet dan mudah alih serta e-dompet.

“Inisiatif itu juga bertujuan untuk membantu golongan yang tidak mempunyai akses kemudahan perbankan, terutamanya usahawan mikro dan peruncit.

“Penduduk di kawasan sekitar juga akan diberikan khidmat nasihat untuk menggunakan perbankan digital bagi menggalakkan transaksi urus niaga tanpa tunai.

“Selain, meningkatkan penggunaan Kod QR dalam kalangan usahawan dan pelanggan di lokasi tersebut.

“Bank Bergerak berpotensi merancakkan kegiatan ekonomi di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar dan secara tidak langsung mendorong peningkatan ekonomi negeri Kedah.

“Inisiatif itu menyokong usaha kerajaan untuk mencapai rangkuman kewangan bagi semua lapisan masyarakat. Selain memastikan, tiada kelompok yang terpinggir daripada arus modenisasi atau pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan.

Bank Bergerak itu akan beroperasi di Pasar Pagi Pekan Tunjang, Daerah Kubang Pasu, Kedah pada setiap Khamis bermula 18 Ogos ini.

Ia juga akan menawarkan perkhidmatan perbankan di dua buah pasar pagi dan sebuah pasar tani di Daerah Kota Setar, Kedah iaitu Pasar Pagi Pekan Langgar pada setiap Isnin bermula 22 Ogos, Pasar Tani Kubang Rotan pada setiap Selasa bermula 23 Ogos dan Pasar Pagi Taman Pinang Jaya pada setiap Rabu bermula 24 Ogos.

Waktu operasi di semua lokasi adalah dari pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk deposit dan pengeluaran wang tunai, khidmat nasihat untuk menggunakan perbankan digital, pembukaan akaun, pembiayaan Ar Rahnu, pemindahan dana antara bank dan bayaran pembiayaan

Sementara itu, Bank Muamalat turut melancarkan Kempen ‘Super Saver, Superb Prizes’ yang merangkumi Akaun Simpanan-i Tawarruq dan Akaun Pelaburan Tidak Terhad Mudarabah (SURIA). Kempen itu bertujuan menggalakkan orang ramai untuk menyimpan dan melabur, dan pada masa yang sama memberi ganjaran kepada pelanggannya.

Kempen tersebut akan berlangsung selama enam bulan, bermula 1 Ogos lalu sehingga 31 Januari 2023.

Kempen ini terbuka kepada semua pelanggan baharu dan sedia ada yang berumur 12 tahun dan ke atas.

Pemegang Akaun Simpanan-i Tawarruq dan Akaun Pelaburan Tidak Terhad Mudarabah (SURIA) layak secara automatik untuk penyertaan berganda bagi cabutan bertuah dengan mengekalkan baki minimum sebanyak RM10 dalam akaun sepanjang tempoh kempen tersebut.

Kempen ‘Super Saver, Superb Prizes’ menawarkan lebih banyak ganjaran dengan sejumlah 1,242 hadiah keseluruhan bernilai RM1.74 juta untuk dimenangi.

Hadiah yang ditawarkan termasuk wang tunai bernilai RM1,000,000.00, sebuah kereta Honda City, sebuah Honda CRV, baucar pelancongan bernilai RM15,000 dan iPad Pro 11 inci 256GB. – MalaysiaGazette