Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Wanita Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 14 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencatatkan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini dan yang paling tinggi di Asia Tenggara membuktikan pertumbuhan ekonomi negara semakin baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan itu menunjukkan sebarang dakwaan mengatakan ekonomi Malaysia tenat atau pelabur lari dan sebagainya tidak benar.

Menurut beliau, di bawah perdana menteri Barisan Nasional (BN) dan dibantu oleh jentera dari parti gabungan itu, didikan dengan cara dan budaya BN yang mementingkan rakyat telah membolehkan ekonomi Malaysia lebih terpelihara.

“Semua ini bukan alasan untuk kita mendabik dada. Cabaran dijangka terus hebat. Tekanan inflasi sedunia juga dirasai di Malaysia.

“Saya selaku perdana menteri tidak boleh selesa hanya dengan angka pelaburan, KDNK dan sebagainya jika rakyat tidak merasai nikmat kek ekonomi dengan saksama.

“Maka sebab itu, saya tidak teragak-agak melakukan keputusan-keputusan drastik demi memastikan kesan inflasi pada tahap minima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Bicara Hati sempena Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Ismail Sabri menambah, antara keputusan diambil dengan membelanjakan subsidi dan bantuan tunai sebanyak hampir RM80 bilion ringgit iaitu angka paling besardalam sejarah atau untuk memansuhkan permit kelulusan (AP) makanan, mahu pun menghentikan eksport ayam.

Tegas beliau, walaupun sesetengah keputusan dilihat kontroversi tetapi jika ia membantu rakyat, maka itulah keputusan yang tepat.

“Contohnya, hari ini harga ayam juga telah turun di bawah paras harga siling. Walaupun inflasi berlaku di Malaysia tetapi angka inflasi 3.4 peratus adalah yang paling rendah di Asia Tenggara.

“Tanpa campur tangan kerajaan, tidak mustahil angka itu boleh melonjak tiga atau empat kali ganda. Ini yang saya sebutkan tadi.

“Saya dididik dengan cara dan budaya UMNO dan BN. Kita tidak teragak-agak melaksanakan keputusan yang berani dan tegas selagi ia membantu rakyat. Itu cara parti kita sejak turun temurun. Itulah juga cara saya,” tegasnya. – MalaysiaGazette