MELAKA – Pemaju sebuah projek perumahan berhampiran Kampung Seberang Anak Air dan Kampung Solok Paya Baru, Tiang Dua, Ayer Molek di sini diarah memenuhi beberapa syarat bagi memastikan projek terbabit tidak menjejaskan kehidupan seharian penduduk kampung sekitar.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad berkata, terdapat empat syarat ketat yang telah dipersetujui susulan lawatan bersama pemaju dan penduduk pada 10 Ogos lalu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, antara isu yang dibangkitkan penduduk kampung kesan daripada projek berkenaan adalah mengenai sistem perparitan utama, tanah yang ditambak dan isu kebersihan.
“Isu yang dibangkitkan ini sememangnya sudah berada dalam pengetahuan saya namun kelulusan projek ini dibuat semasa di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Selepas kerajaan bertukar, saya juga telah mengenakan pelbagai syarat ketat kepada pemaju kerana tapak projek adalah di dalam kawasan kampung di Kampung Tambak Paya yang berisiko banjir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) penduduk serta pemaju telah ke tapak projek berkenaan Rabu lalu untuk melihat sendiri permasalahan penduduk.
“Susulan lawatan itu, kita telah mengarahkan beberapa perkara untuk tindakan pemaju yang telah dipersetujui melalui hasil perbincangan.
“Antaranya adalah pemaju perlu menyegerakan pemasangan ‘hoarding’ dan tembok penahan dan membina parit konkrit bagi jalan kampung sedia ada,” katanya.
Pemaju juga jelasnya, telah bersetuju menyediakan jalan alternatif di tebing sungai sementara bagi pembinaan longkang utama.
MalaysiaGazette hari ini melaporkan kehidupan kira-kira 300 penduduk dua buah kampung berkenaan terancam sejak tiga bulan lalu ekoran beberapa masalah yang didakwa berpunca daripada pembangunan sebuah kawasan perumahan di situ.
Penduduk mendakwa, projek pembinaan kira-kira 700 unit rumah itu mengakibatkan mereka kini hidup dalam ketakutan dek masalah banjir lumpur, pencemaran debu yang semakin kerap berlaku.
Tidak cukup dengan itu, laluan utama yang digunakan setiap hari untuk ulang alik ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah juga sering tidak dapat digunakan menyebabkan mereka terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh.
Permasalahan itu disuarakan wakil rakyat pembangkang dari PKR, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menggesa kerajaan negeri turun padang meninjau dan menyelesaikan masalah itu. – MalaysiaGazette.