Mohd. Jafni Md. Shukor mengadakan lawatan ke Rumah Pangsa Ros Merah di Taman Johor Jaya, Johor Bahru.

ISKANDAR PUTERI – Seramai 45 keluarga yang terkesan akibat bencana ribut yang melanda Rumah Pangsa Ros Merah di Taman Johor Jaya, dekat sini, Jumaat lalu akan ditempatkan di rumah sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor berkata, mereka akan mendiami rumah sementara itu sepanjang kerja-kerja membaik pulih bumbung itu selesai.

Bagaimanapun tawaran itu bergantung kepada kesesuaian keluarga mangsa terutama bagi mereka yang tidak memiliki tempat tinggal lain, jelasnya.

“Esok saya akan bertemu dengan keluarga mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya bagi mengumumkan perkara berkenaan selain kita akan menyampaikan bantuan wang tunai RM1,000.

“Semua maklumat lebih lanjut berkaitan tawaran rumah sementara itu kita akan beritahu kepada mereka yang memerlukan sehingga tempat tinggal asal mereka dibaik pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua WHIP, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, kira-kira 50 keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya setelah kediaman mereka rosak dan musnah dimasuki air dalam kejadian ribut yang menerbangkan bumbung enam blok di kawasan itu.

Sebahagian mangsa masih berada di PPS sehingga hari ini kerana tiada tempat tinggal lain manakala sebilangan lagi berpindah ke rumah saudara terdekat.

Mohd. Jafni berkata, pada peringkat awal, pihaknya akan melakukan kerja pembersihan sisa bumbung bagi mengelakkan serpihan terjatuh.

Sebahagian rumah pangsa di Taman Ros Merah Johor Jaya yang rosak teruk akibat dilanda ribut baru-baru ini.

Katanya, kerja pembaikpulihan akan dijalankan dalam tempoh terdekat.

Ketika ditanya mengenai kos baikpulih rumah terlibat, Mohd. Jasni memaklumkan pihaknya masih belum menerima anggaran kos sebenar daripada kontraktor.

Jelasnya, rumah pangsa itu bukan di bawah kerajaan negeri, sebaliknya ia memiliki badan pengurusan (MC).

Menurut Mohd Jasni, berikutan kos membaik pulih dianggarkan tinggi berkemungkinan MC berdepan kesulitan bagi menampungnya.

Berikutan itu, katanya, Pejabat Menteri Besar bersetuju untuk  menampung separuh daripada kos tersebut manakala selebihnya ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). – MalaysiaGazette