Lee Hon Kit (kiri) dan Tobby Tan berjabat tangan selepas selesai majlis menandatangani penjualan saham di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Alaska Mining Sdn Bhd (Alaska Mining) mengumumkan penjualan 51 peratus kepentingannya kepada Nanopac Alaska Sdn. Bhd. (NASB).

Penjualan saham itu merupakan milik Lee Hon Kit yang merupakan pemegang saham tunggal melibatkan urus niaga bernilai RM15.2 juta

Alaska Mining dalam kenyataannya berkata, di bawah perjanjian itu, penjualan 51 peratus kepentingan di dalam Alaska Mining oleh Lee kepada NASB akan disempurnakan dengan penerbitan saham baru dalam Nanopac yang akan dibayar secara dua peringkat.

“Peringkat pertama saham baru yang berjumlah RM7.7 juta akan dibayar secara pendahuluan selepas perjanjian jualan saham manakala peringkat kedua saham baru berjumlah RM7.7 juta akan dibayar selepas Syarikat mencapai untung bersih RM15.2 juta,”

“Sebagai sebahagian daripada perjanjian jualan saham, Encik Lee akan dilantik menjadi pengarah urusan Alaska Mining,” katanya.

NASB adalah unit kepada Nanopac Innovation Limited (Nanopac), yang disenaraikan di National Stock Exchange of Australia yang berpangkalan di Sydney.

Secara asasnya Nanopac terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, pengedaran dan memberi perkhidmatan berkaitan bahan dan produk teknologi nano.

Perniagaan lain Nanopac merangkumi panel NanoSolar dan membekal bahan mentah kepada industri cat.

Sementara itu, Lee adalah pemegang saham tunggal Alaska Mining, iaitu pakar bagi kerja-kerja tanah dan perlombongan serta pedagang bagi pelbagai jenis barangan dan penyedia perkhidmatan logistik.

Alaska Mining telah diberi hak melombong pasir untuk diproses menjadi silika dan ilmenit, yang mana sebuah kumpulan perniagaan China telah bersetuju untuk perjanjian dagangan berhubung sebahagian daripada ilmenit yang dihasilkan.

Lee sedia untuk bekerjasama dengan NASB dan Nanopac membangunkan perniagaan melombong dan pada masa yang sama memastikan terdapat aliran tetap silika bagi pengeluaran panel Nano-Solar dan ilmenit bagi produk catnya.

“Perolehan ini memberi kelebihan kepada Nanopac kerana ia memastikan aliran tetap bahan mentah bagi panel Nano-Solar dan produk sedia ada, yang sekiranya tidak, perlu diperoleh daripada pihak ketiga.” katanya lagi.

Dalam pada itu Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif NASB Tobby Tan berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan Lee ke keluarga Nanopac dan percaya bahawa dengan pengetahuan dan pengalamannya, mereka akan dapat mengembangkan lagi perniagaan perlombongan ini.

“Kami juga percaya bahawa perolehan kepentingan ini akan menambah kepada keupayaan pengeluaran kami dan adalah sesuatu yang positif kepada perkembangan perniagaan panel solar dan cat Nanopac.” katanya. – MalaysiaGazette