Ikmal Hisham Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan memutuskan untuk membekukan sementara waktu projek pembinaan Kem Tentera Darat di Taman Sri Skudai, Johor.

Keputusan itu dibuat bagi menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember 2018 yang memutuskan supaya syarikat Kausar Consortium Sdn. Bhd. (KCSB) membayar ganti rugi RM269.5 juta kepada kerajaan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, syarikat itu adalah kontraktor yang bertanggungjawab membina kem berkenaan, tetapi gagal menyiapkan projek tersebut mengikut tempoh waktu ditetapkan.

Kata beliau, kerajaan menetapkan projek itu siap pada 10 Jun 2001, tetapi melanjutkan sehingga 10 Januari 2003, tetapi masih juga gagal disiapkan.

Menurutnya, Perjanjian Penswastaan Tiga Pihak Bagi Rekabentuk dan Pembinaan Kem Tentera di Skudai telah ditandatangani antara Kementerian Pertahanan pada 10 Julai 1997 dengan KCSB bagi projek pembangunan Kem 7 Briged di Skudai, Johor untuk tempoh tiga tahun bermula 10 Julai 1997 hingga 10 Jun 2001 dengan nilai projek RM256 juta.

“Bagaimanapun, projek ini terpaksa dihentikan pada Disember 2002 kerana KCSB menghadapi masalah kewangan dan hanya mampu menyiapkan 18.3 peratus daripada keseluruhan skop projek.

“Walaupun beberapa siri rundingan dibuat antara Kementerian Pertahanan dan KCSB dari tahun 2003 hingga 2007, namun ianya tidak menemui jalan penyelesaian dan atas faktor itu, notis penamatan perjanjian penswastaan telah dikuatkuasakan pada 11 April 2011,” katanya kepada Dewan Negara, hari ini.

Menurut Ikmal Hisham, lanjutan daripada itu, Kementerian Pertahanan telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 April 2017 bagi membuat tuntutan ganti rugi kepada KCSB demi melindungi kepentingan kerajaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember 2018 kemudiannya telah memutuskan nilaian ganti rugi berjumlah RM269.5 juta yang perlu dibayar oleh KCSB kepada kerajaan.

“KCSB kemudian telah memfailkan Notis Rayuan, namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Persekutuan pada 8 September 2020.

“Kementerian Pertahanan seterusnya telah mengemukakan Notis Tuntutan kepada KCSB pada 16 Oktober 2020 dan sekali lagi pada 13 November 2020, namun, syarikat itu masih gagal mematuhinya sehingga hari ini.

“Pada masa ini, tuntutan ganti rugi tersebut sedang dalam tindakan penguatkuasaan oleh Unit Pelaksanaan dan Penguatkuasaan, Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Sehubungan itu juga, katanya, Kementerian Pertahanan terpaksa menangguhkan dahulu pelaksanaan projek pembinaan kem berkenaan sehingga satu tempoh waktu bila kerajaan dapat memutuskan tindakan selanjutnya berdasarkan kepada nasihat daripada Jabatan Peguam Negara. – MalaysiaGazette