LOS ANGELES – Aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh terus mencipta sejarah apabila menjadi artis Asia pertama menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam seni halus dari Institut Filem Amerika (AFI).
Portal The Hollywood Reporter melaporkan, Michelle, 60, mendapat pengiktirafan AFI atas sumbangan besar dalam industri perfileman Hollywood selama kira-kira 40 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni.
Majlis penganugerahan itu berlangsung di TCL Chinese Theatre, Hollywood, semalam.
Ketika ini, Michelle yang terkenal dengan filem James Bond Tomorrow Never Dies sudah berlakon lebih 70 filem di Hollywood.
Antara filem lakonannya adalah Crouching Tiger, Hidden Dragon, Memoirs of a Geisha, Tomorrow Never Dies dan Crazy Rich Asians.
Michelle yang dilahirkan di Ipoh, Perak telah dipilih oleh Majalah People sebagai salah seorang daripada 50 wanita paling cantik di dunia pada 1997.
Pada tahun 1983, ketika berusia 21 tahun, dia telah memenangi gelaran Miss Malaysia World 1983 dan dengan kejayaannya itu, Michelle telah mewakili Malaysia ke pertandingan akhir Miss world 1983 yang telah diadakan di London. – MalaysiaGazette