KUALA LUMPUR – Pelabur asing mengekalkan belian di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut dengan menyaksikan aliran masuk bersih sebanyak RM451.7 juta untuk minggu berakhir 12 Ogos 2022.
Belian itu adalah 16.4% lebih tinggi daripada minggu sebelumnya sebanyak RM388.21 juta.
MIDF Reearch berkata, belian pelabur asing bermula pada hari Isnin dan Selasa, masing-masing berjumlah RM0.53 juta dan RM15.8 juta.
Walaupun kebimbangan mengenai inflasi Amerika Syarikat (AS) pada hari Rabu, dana asing bersih dijual hanya RM3.8 juta – ia adalah satu-satunya hari jualan bersih oleh pelabur asing, menurut laporan mingguan MIDF Research.
Sebahagian besar pembelian bersih berlaku pada Khamis dan Jumaat masing-masing sebanyak RM232.9 juta dan RM206.2 juta selepas data inflasi AS lebih rendah dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia lebih kukuh.
Sementara itu, institusi tempatan terus menjadi penjual bersih untuk minggu kelima sebanyak RM573 juta, lebih daripada dua kali ganda jumlah daripada minggu sebelumnya RM266.9 juta.
Firma penyelidikan itu menambah, institusi tempatan menjadi penjual bersih selama lapan hari berturut-turut sejak 3 Ogos.
Peruncit tempatan membalikkan arah aliran jualan bersih mereka lebih tiga minggu dengan belian bersih RM121.3 juta pada minggu lalu dan menjadi pembeli bersih dari hari Isnin hingga Rabu dan pada hari Jumaat tetapi telah menjadi penjual bersih pada Khamis.
Sehingga kini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih untuk 21 daripada 32 minggu 2022, dengan jumlah keseluruhan aliran masuk bersih RM7.11 bilion.
Manakala institusi tempatan adalah penjual bersih selama 25 daripada 32 minggu, dengan jumlah bersih aliran keluar sebanyak RM8.8 bilion.
Peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih untuk 20 daripada 32 minggu setakat ini dengan jumlah RM1.7 bilion.
Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur institusi tempatan sebanyak 1.05%.
Pengurangan dalam ADTV dilihat dalam kalangan pelabur asing dan peruncit tempatan masing-masing sebanyak -3.57% dan 3.36%. – MalaysiaGazette