KUALA LUMPUR – Pertandingan Mr World Malaysia 2022 anjuran Universal Music Malaysia (UM) kini bermula secara rasmi dalam usaha mencari jejaka idaman Malaysia.
Pertandingan itu bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dan mempelbagaikan portfolio bakat di bawah naungan Celebrity360, sebuah agensi pengurusan bakat UM.
Seterusnya, juara akan mewakili Malaysia di pertandingan berprestij global Mr World 2022 yang dijangka diadakan di United Kingdom pada hujung tahun ini.
“Kami sangat teruja memperkenalkan barisan peserta tahun ini yang muda dan berbakat daripada pelbagai latar belakang yang mewakili hampir semua negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
“Universal Music Malaysia berharap melalui projek seperti Mr World Malaysia, kami dapat mengukuhkan lagi portfolio bakat kami di samping mengembangkan segmen yang berbeza selain nyanyian dan lakonan,” kata Pengarah Urusan, Universal Music Malaysia, Kim Lim dalam satu kenyataan.
Pada majlis pengenalan seramai 24 jejaka yang akan bersaing untuk merebut gelaran tersohor ini di mana mereka terdiri daripada pelbagai latarbelakang portfolio termasuk doktor, doktor gigi, ahli farmasi, pelakon, cef, usahawan, barista, jurulatih kecergasan dan banyak lagi.
Turut hadir bersama adalah penaja rasmi utama Mr World Malaysia 2022 termasuk JD Sports, Lingtea, Living Young Aesthetics dan Cookx manakala rakan kongsi termasuk Number76 (salon rambut), MakeUp Miracle (juru solek) dan Star Fitness (pusat kecergasan).
Kim juga berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penaja serta rakan kongsi untuk bersama kami dalam menjayakan acara yang sangat unik ini dan terus mendokong bakat baharu yang bakal membawa nama Malaysia bersama jenama tempatan ke pentas dunia kelak.
“Orang ramai dijemput ke program temu mesra bersama kesemua 24 finalis yang akan diadakan pada 28 Ogos ini di Pavilion Bukit Jalil di mana pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk peluang memenangi tiket ke acara gala akhir yang dijadualkan berlangsung pada September ini,” katanya. – MalaysiaGazette