Najib Asaddok merupakan pengasas syarikat Momentum Internet Sdn Bhd sejak 2014.

KUALA LUMPUR –  Bagi pakar motivasi bisnes, Najib Asaddok bukan sekali dua dilemparkan kata-kata sinis apabila segelintir netizen yang menggelar dirinya menjalankan ‘bisnes air liur.

Namun kata pengasas syarikat Momentum Internet Sdn Bhd sejak 2014 lalu, dia juga manusia biasa yang mempunyai emosi dan perasaan.

Apatah lagi sedang berkongsi ilmu ketika sesi secara langsung di media sosial, muncul individu yang cuba membuat provokasi.

Bagaimanapun Najib atau nama sebenarnya Mohd. Najib Asaddok bersyukur ramai yang memberikan komen positif dan sokongan yang mana mereka berkongsi kisah kejayaan dalam perniagaan selepas mengikuti kelas selama ini.

“Ketika buat sesi siaran langsung itu, saya sedang membincangkan topik agak serius berkaitan isu peniaga yang mengalami kejatuhan dalam jualan.

“Tapi, apabila terdapat komen dan soalan sama berulang kali, ia lebih kepada provokasi dan berniat nak menjatuhkan kredibiliti. Saya juga orang biasa yang mempunyai emosi dan perasaan.

“Dalam masa sama, ramai lagi memberikan komen positif dan sokongan yang mana mereka berkongsi kisah kejayaan dalam perniagaan selepas mengikuti kelas saya. Bagi saya, ini lebih menggembirakan serta memberi semangat pada saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib Asaddok pernah terbabit dengan perniagaan menjual produk kesihatan.

Najib sebelum ini berjaya membina empayar perniagaan dengan memberi perkhidmatan latihan secara dalam talian kepada golongan peniaga untuk kembali bangkit dan menjadi usahawan berjaya.

Tetapi baru-baru ini tular apabila Najib, 39, yang sedang membuat sesi siaran langsung dihujani dengan pertanyaan netizen bertanyakan soalan berunsur provokasi mempersoalkan apa perniagaannya yang sudah berjaya sehingga layak mengajar orang lain mengenai ilmu pemasaran.

Seterusnya sesi itu mendapat komen beberapa pengguna laman sosial mempertikaikan kejayaan diraih hanya dengan ‘menjual air liur’.

Najib memberitahu di sebalik kejayaan yang dicapai hari ini, dia sudah mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sejak  bangku sekolah semata-mata ingin mengubah kehidupan keluarganya.

“Pada usia 11 tahun, ayah saya meninggal dunia. Ketika itu emak hanya pekerja kilang dengan pendapatan RM300 hingga RM500 sebulan. Malah sejak kecil lagi saya bersama lima beradik lain tinggal dengan datuk. Dengan bantuan datuk juga, kami adik beradik cukup makan, pakai dan sekolah.

“Dari sekolah lagi saya sudah berniaga dengan terbabit sebagai ketua koperasi di sekolah menengah dan menjadi Ketua Kelab Usahawan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar. Pada 2004 saya sudah mula membuat perniagaan jualan langsung yang mana ketika itu masih menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

“Kemudian, pada 2006 hingga 2008 saya terbabit dengan perniagaan menjual produk kesihatan. Saya buat jualan di sekolah, buka booth, masuk ekspo dan beberapa pejabat kerajaan.

“Dalam masa sama, sepanjang tempoh itu juga saya mula menjadi pelatih dengan memberi latihan kepada orang yang mahu mula berniaga. Semua yang saya buat ini bukan semata mata minat, tapi terpaksa sebab saya berasal daripada keluarga susah,” katanya yang berasal dari Benut, Pontian, Johor.

Kesusahan dan keperitan dilalui Najib tidak menghalang dirinya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi termasuk menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Perniagaan dan Pengurusan (MBA) di Anglia Ruskin University kampus Kolej FTMS Cyberjaya pada 2018 dan kini sedang menuntut di peringkat Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Open University Malaysia (OUM).

Daripada seorang jurujual, Najib membuat anjakan dalam kerjayanya apabila menukar strategi dengan terbabit dalam perniagaan secara dalam talian pada 2009.

Berbekalkan pendapatan mencecah RM30,000 hingga RM50,000 sebulan, Najib mula dihimpit rakan dan orang sekeliling bagi mendapatkan rahsia kejayaan itu.

“Semua kawan bertanya macam mana saya boleh jualan hingga mencecah angka itu. Dari situ saya buat bisnes coaching atau latihan hingga sekarang. Kebanyakan orang faham apabila berniaga hanya secara offline. Apabila mereka mula menyedari perniagaan dalam talian, saya ajar mereka cara nak bermula termasuk penggunaan ayat yang sesuai untuk tarik minat pelanggan.

“Alhamdulillah, pada 2020 saya membuat satu kelas berskala besar yang dihadiri 5,500 individu yang terdiri daripada usahawan pelbagai industri dan latar belakang. Pengalaman yang ada sepanjang terbabit dalam perniagaan dalam talian saya kongsikan kepada mereka. Ini juga berkat hasil saya berguru dengan Datuk Wira Dr Azizan Osman,” katanya.

Najib (kiri) dan isteri ketika menerima Anugerah Kepimpinan dalam Pemasaran peringkat Antarabangsa di Dubai tahun ini.

Sesuatu yang membanggakan buat Najib juga apabila menerusi syarikatnya dia sudah berjaya membantu lebih 400,000 usahawan menerusi e-book, video, buku, kelas dalam talian dan offline yang dibuat secara percuma.

Berkat kesabaran, usaha dan pertolongan, ternyata itu semua memberikan sinar dalam kehidupannya termasuklah baru-baru ini syarikatnya memperoleh sijil Sirim ISO 9001:2015 yang membuktikan hasil kerja keras kakitangan Momentum yang mengikut segala prosedur.

Najib juga pernah dinobatkan Anugerah Orang Muda Johor oleh Tunku Mahkota Johor selain menerima Anugerah Kepimpinan dalam Pemasaran peringkat Antarabangsa di Dubai tahun ini.- MalaysiaGazette