Mohd Jafni (kiri) bersama Mohd Fared (kanan) ribut beramah mesra bersama mabgsa ribut di PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 18 keluarga mangsa ribut di Flat Ros Merah, Taman Johor Jaya di sini akan menerima kunci untuk penempatan sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah esok.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerajaan negeri juga akan menanggung sepenuhnya bayaran kemasukan rumah PPR berkenaan kepada mangsa terlibat.

Bagaimanapun ada dalam kalangan mangsa ribut lain memilih untuk menumpang di rumah saudara mara terdekat mereka.

“Kerajaan negeri telah pun membuat tawaran PPR sementara ini kepada 31 keluarga terlibat yang terjejas teruk dalam insiden ribut pada Jumaat lalu.

“Bagaimanapun hanya 18 keluarga memohon untuk memilih tinggal di PPR Pelangi Indah yang mana jaraknya hanya lima kilometer dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya.

“PPR ini bersifat sementara dan mangsa ribut ini akan pulang semula ke rumah mereka di Flat Ros Merah selepas proses membaik pulih bumbung siap yang dijangka mengambil masa hingga lapan minggu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan wang ihsan kepada mangsa ribut di PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid.

PPS berkenaan akan ditutup sepenuhnya selepas urusan perpindahan mangsa ribu ke PPR sementara dan rumah saudara mara mereka selesai yang dijangka dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

Jafni memberitahu, kesemua keluarga mangsa terlibat turut menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM2,500.

Bantuan wang ihsan ini daripada pelbagai pihak iaitu kerajaan negeri RM1,000, Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru RM1,000 dan Majlis Agama Islam Negeri Johor pula RM500.

“MAINJ juga menghulurkan bantuan sebanyak RM300 kepada 18 pelajar yang terkesan dengan insiden ribut ini,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast