Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melakukan pindaan Perlembagaan Persekutuan terhadap Item 1(b) dan 1(c) dalam Bahagian II, Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perkataan ‘bapa’ kepada ‘ibu atau bapa’ dapat dipercepatkan.

Pindaan ini bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara tetapi bapa warga asing dapat diiktiraf secara automatik sebagai warganegara.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Badlishah Sham Baharin berkata, pindaan tersebut mustahak dan perlu dibuat segera selepas keputusan oleh Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos 2022 yang memutuskan bahawa Item 1(b) dan 1(c) dalam Bahagian II, Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan hanya mengehadkan kewarganegaraan automatik kepada anak yang dilahirkan dalam negara sahaja bagi kes ibu warganegara tetapi bapa warga asing.

Ini menyebabkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara tetapi bapa warga asing tidak akan menerima kerakyatan Malaysia secara automatik.

“Pindaan ini adalah lebih adil, saksama dan rahmah bukan sahaja kepada ibu-ibu yang menghadapi situasi serupa, malah memberi impak kepada kesejahteraan anak-anak memandangkan ibu memainkan peranan sangat penting dalam pembangunan dan pembesaran anak-anak.

“Akan berlaku banyak kesukaran kepada si ibu untuk membesarkan anak sekiranya anak-anak tersebut tidak mendapat kerakyatan secara automatik, lebih-lebih lagi jika mereka menetap dan bermastautin di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, penafian hak warganegara hanya kerana anak tersebut dilahirkan di luar negara dan bapanya adalah warga asing adalah merupakan satu diskriminasi dan tidak relevan lagi untuk diamalkan dalam dunia globalisasi tanpa sempadan pada masa kini.

”Ikram menyeru kerajaan dan semua ahli Parlimen untuk bersatu hati serta bertindak secara progresif dan proaktif dalam merealisasikan pindaan ini demi membolehkan anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara tetapi bapa warga asing diberi kewarganegaraan secara automatik demi keadilan kepada semua,” ujar Badlishah. – MalaysiaGazette