Pengamal spiritual Indonesia Gus Nur Syamsun. Foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Disantau dan hampir menemui ajal hanya kerana merawat seorang pesakit orang kenamaan dari Malaysia satu pengalaman tidak dapat dilupakan pengamal spiritual terkenal di Indonesia, Gus Nur Syamsun.

Beliau yang mewakili pusat perubatan Padepoan Cakra Lodaya Nusantara itu sebelum ini dikenali aktif untuk membanteras dukun santet dan mereka yang mengamalkan ilmu hitam di negaranya.

Bagaimanapun beliau merahsiakan identiti orang kenamaan yang mendapatkan perkhidmatannya empat tahun lalu.

Gus Nur Syamsun. Foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2022.

Mengimbas kembali detik itu, Nur Syamsun telah dipanggil untuk melawan ilmu santet terhadap seseorang ternama dari Malaysia yang sudah berkahwin namun curang dengan seorang wanita lain.

“Hubungan mereka tidak berkekalan apabila perbuatan mereka diketahui isterinya yang kemudian meminta bantuan dari 10 bomoh Siam untuk menyantau suaminya.

“Dia (orang kenamaan) itu tak boleh tidur selama hampir satu tahun, celik terus. Bawa berubat dengan kiai dan ustaz pun tak sembuh juga,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Gus datang ke negara ini atas baru-baru ini bagi menemui rakan baiknya, Datuk Tengku Asmawi Tuan Umar yang juga seorang pengamal ilmu spiritual dan merawat pesakit diserang ilmu hitam.

Penasihat Keagamaan dan Modal Insan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar dan pengamal spritual Indonesia, Gus Nur (kanan) dalam Program Borak MG di Pejabat Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2022.

Beliau kemudian diundang untuk melihat keadaan pesakit itu terus menyerah dan tidak berani mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa pada awalnya.

“Saya baru lihat, belum mengubatinya, belum doa, belum baca bismillah pun. Ini risiko, saya masih ada anak kecil, boleh konyol (mati) saya ni. Saya nak hidup lagi,” imbasnya.

Bagaimanapun beliau dipujuk oleh abang pesakit berkali-kali.

“Gus, tolong Gus. Bantu adik saya, jangan biarkan dukun santet itu kalahkan dia. Gus kan sudah berserah sama Allah, kata abang pesakit merayu saya.

“Sejurus saya bersetuju untuk membantu, saya mula baca bismillah, saya muntah darah, perut panas. Tiba-tiba keluar darah dari mata, mulut, telinga, hidung saya. Kemaluan saya pun keluar darah,” katanya.

Kekuatan 10 dukun Siam itu membuatkan Gus hampir pengsan dan tidak mengenali orang-orang di sekelilingnya pada waktu itu.

Bahkan namanya sendiri pun terlupa ketika itu.

“Mulut sudah tak boleh bercakap, saya cuma boleh berdoa dalam hati. Ya Allah, jika engkau mengizinkan saya hidup di muka bumi ini untuk kebaikan dengan cara yang baik dan tujuan yang baik, jika engkau memberikan aku peluang kehidupan untuk memberi manfaat untuk orang lain maka berikanlah kekuatan kepada ku untuk melawan kemungkaran.

“Jika sebaliknya Engkau menakdirkan saya untuk menjadi orang yang jahat, matikanlah aku” doanya.

Beliau dengan keadaan tidak sedar kemudiannya memetik daun dari sebuah pokok bunga dan kemudian memakannya secara tanpa sedar dan kemudian mengalami keracunan.

Beliau memuntahkan kembali daun itu dan santau yang menyerangnya hilang.

“Aneh, saya makan tanpa niat. Refleks automatik. Racun bisa mengubati santau,” katanya.

Selepas terjaga, beliau hanya duduk memejamkan mata menghadap ke depan rumah dan berdoa selama hampir dua jam.

“Atap genting rumah tiba-tiba terjatuh dan kedengaran seperti bunyi ledakan bom. Saya cuma terus berdoa dan akhirnya kami (Gus dan pesakitnya) sihat sampai sekarang” katanya lagi.

Ahli Spiritual Indonesia, Gus Nur Syamsun. Foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2022.

Sebelum itu, Gus pernah mengiklankan di laman YouTube untuk berlawan dengan dukun-dukun salah di Indonesia.

“Bagi siapa yang berjaya menyantet saya, saya nak kasi wang 500 juta rupiah (RM15,000). Dengan syarat, lakukan di hadapan mata saya dan ditayangkan di televisyen,” katanya.

Gus berkata, beliau hanya ingin membantu masyarakat mengabdikan diri ke jalan Allah sambil menyebarkan syiar Islam serta amar makruf nahi mungkar.

“Kita di akhir zaman, sudah banyak kacau balau. Saya merasakan kita harus meneruskan perjuangan para ulama dan wali dahulu,” tambahnya yang mendakwa dirinya kaitan dengan keturunan Sunan Kalijaga.

Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang pengalamannya, ilmu santau paling bahaya adalah dari Brazil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast