Yahaya Othman. Foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR- Hasrat lapan warga Myanmar yang baru tiba secara haram di negara ini untuk mencari nafkah hidup tidak kesampaian apabila dicekup polis.

Kesemua suspek disyaki tiba awal pagi tadi dengan bantuan seorang warga tempatan pada jam 5 pagi tadi menerusi darat dari utara Semenanjung Malaysia ke pasar borong tersebut.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, kesemua mereka telah dicekup ketika membuat pemeriksaan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu di sekitar Pasar Borong, ibu negara pagi tadi.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an yang dipercayai tekong bertanggungjawab membawa masuk semua warga Myanmar berkenaan secara haram ke dalam negara juga ditahan.

“Kesemua lelaki yang ditahan itu adalah berusia lingkungan antara 20 hingga 40 tahun dan sedang disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” kata beliau dalam sidang media selepas operasi tersebut.

Pemeriksaan telah dilakukan ke atas lebih 400 PATI yang terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia yang terlibat perniagaan dan pekerjaan secara tidak sah di pasar tersebut.

Kata Yahaya, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut menahan 18 lagi warga asing kerana dikesan positif dadah menerusi ujian air kencing.

“Seramai 400 warga asing diperiksa dalam operasi berkala hari ini yang turut disertai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

“Dari segi aktiviti gengsterisme di sini didapati tiada mana-mana pihak yang memonopoli kawasan ini, cuma mereka lebih kepada bersaing mendapatkan kerja dan berlumba-lumba menguasai pasaran perniagaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihak polis akan terus membuat pemantauan dan operasi penguatkuasaan di lokasi yang menjadi tumpuan PATI dari masa ke semasa untuk memastikan keselamatan semua pihak di pasar borong tersebut.- MalaysiaGazette