Sepasang suami isteri diiringi anggota SPRM hadir ke mahkamah untuk didakwa bersubahat dan menyalahguna kedudukan bagi kerja-kerja penilaian aset milik Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjumlah RM575,360 pada 2019 hingga 2020 di Mahkamah Sesyen, Shah Alam. Foto MUHD NA'IM, 17 OGOS 2022.

SHAH ALAM – Sepasang suami isteri berdepan hukuman penjara 20 tahun kerana didakwa bersubahat dan menyalahguna kedudukan bagi kerja-kerja penilaian aset milik Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjumlah RM575,360 antara 2019 hingga 2020.

Pada prosiding pertama, tertuduh, Hazliza Md. Salleh yang juga Pengarah Penilaian dan Pengurusan Harta MPK bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini.

Kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Hazliza, 48, didakwa menggunakan jawatan sebagai pegawai badan awam untuk memberikan apa-apa suapan kepada suaminya, Shahril Nizam Mokhtar yang mempunyai kepentingan dalam syarikat Nilai Harta Consultant Sdn Bhd.

Hazliza kemudiannya mencadangkan pelantikan syarikat itu untuk melaksanakan Kerja-Kerja Penilaian Kadaran Bagi Harta-Harta Khas (Klang Utara) milik MPK melalui sebut harga sebanyak RM 251,000 semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sebutharga Bil 8 Tahun 2019 di Bangunan Sultan Alam Shah, Klang pada 3 Mei 2019.

Bagi pertuduhan kedua, Hazliza didakwa mencadangkan pelantikan syarikat sama untuk melaksanakan Kerja-Kerja Penilaian Kadaran Fasa 4 Bagi Sebahagian Harta di Kawasan Operasi 2 MPK berjumlah RM324,360 semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sebutharga Bil. 15 Tahun 2020 pada 19 Ogos 2020.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Hazliza dituduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Dalam pertuduhan berasingan, Shahril Nizam yang juga ejen hartanah berhadapan dua pertuduhan kerana bersubahat dengan isterinya, Hazliza untuk menyalahgunakan kedudukan sebagai pegawai badan awam di MPK untuk mencadangkan pelantikan syarikat sama bagi melaksanakan Kerja-Kerja Penilaian Kadaran Bagi Harta-Harta Khas (Klang Utara) milik MPK sebanyak RM 251,000 di Bangunan Sultan Alam Shah, Klang pada 3 Mei 2019.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shahril Nizam bersubahat dengan Hazliza agar mencadangkan pelantikan syarikat sama untuk melaksanakan Kerja-Kerja Penilaian Kadaran Fasa 4 Bagi Sebahagian Harta di Kawasan Operasi 2 MPK berjumlah RM324,360 semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sebutharga Bil. 15 Tahun 2020 di Bangunan Sultan Alam Shah, Klang pada 19 Ogos 2020.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Shahril Nizam dituduh kerana bersubahat bagi kesemua kesalahan tersebut di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23(1) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sama di bawah Seksyen 24(1).

Susulan pertuduhan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noryusriza Zulkifli, menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 kepada Hazliza dan RM30,000 kepada Shahril Nizam dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap awal bulan.

Peguam yang mewakili Hazliza, Selvanteran V. Segaran bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan kerana tertuduh mempunyai empat anak termasuk seorang masih bersekolah rendah dan menjaga bapa yang uzur.

“Tertuduh juga menghidap penyakit darah tinggi dan masalah serta baru menjalani pembedahan pintasan jantung.

“Anak guam juga sentiasa memberi kerjasama sepanjang siasatan SPRM sejak 2020,” katanya.

Selain itu, peguam Nurfatin Amirah Mohd. Shaari yang mewakili Shahril Nizam turut merayu jaminan rendah kerana pendapatan anak guamnya terjejas sejak pandemik Covid-19 dan beberapa tender syarikatnya ditarik balik sejak tahun lalu apabila disiasat SPRM.

“Anak guam saya bekerja sebagai ejen hartanah dan pendapatannya bergantung kepada komisen, namun terjejas sejak pandemik. Malah, beberapa tender kepada syarikatnya turut ditarik balik,” katanya.

Hakim Rozilah kemudian memutuskan agar pasangan suami isteri itu masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berlainan, selain menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan.

Mahkamah turut menetapkan 22 September ini sebagai tarikh sebutan kes itu. – MalaysiaGazette