mohd azizuddin mohd sani
Mohd. Azizuddin Mohd. Sani

KUALA LUMPUR – Andaian kononnya pemimpin-pemimpin UMNO berdiam atau menjauhkan diri daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang berdepan rayuan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan adalah kurang tepat.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, mereka masih menghormati Najib yang telah memainkan peranan penting dalam membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Beliau percaya pemimpin-pemimpin UMNO berbincang secara dalaman termasuk dari segi merangka strategi sekiranya keputusan rayuan kes tersebut tidak memihak kepada Najib.

“Pemimpin-pemimpin UMNO mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga proses rayuan selesai.

“Mungkin juga mereka bimbang sebarang kenyataan yang dikeluarkan berhubung kes itu boleh dianggap menghina mahkamah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Hari ini, FMT melaporkan, seorang pemimpin UMNO yang tidak didedahkan identitinya mempersoalkan sikap pemimpin parti yang berdiam diri ketika Najib berdepan rayuan kes SRC International yang bermula kelmarin.

Laporan yang sama turut menyatakan, seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang enggan dinamakan mengesahkan kumpulan WhatsApp parti itu membisu berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Najib mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan terakhirnya berhubung pekerjaan hakim Datuk Mohd. Nazlan. Ghazali dengan sebuah bank.

Azizuddin menambah, pendekatan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin UMNO adalah wajar memandangkan proses rayuan masih lagi berjalan dan tiada sesiapa pun yang sepatutnya memberi komen berhubung keputusan mahkamah itu.

Ditanya sama ada fenomena ‘Bossku’ yang dibawa oleh Najib mampu membantu kemenangan BN pada PRU15 seperti yang berlaku pada PRN Johor dan Melaka dahulu, beliau berpandangan, ia bergantung kepada keputusan mahkamah.

“Najib memang aktif turun padang semasa kempen PRN Melaka dan Johor. Sekiranya beliau tiada, mungkin memberi kesan terhadap kempen BN pada PRU-15,” jelasnya. – MalaysiaGazette