KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan peniaga nasi ayam dan itik di Pulau Pinang yang tular baru-baru ini tidak melakukan kesalahan di bawah bidang kuasa kementerian tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, kementerian itu sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung isu itu.
Menurutnya, sekiranya didapati ada kesalahan atau pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP, maka tindakan lanjut akan diambi.
“Ini kerana peniaga itu tidak pernah menyatakan sebarang status halal perniagaannya.
“Kita dah hubungi KPDNHEP Pulau Pinang, apa yang kita dapati bahawa tiada apa-apa kesalahan dilakukan peniaga tersebut cuma isunya adalah bab halal.
“Dalam hal ini, jika dia tulis (nyatakan) barang disediakan adalah halal, tapi tiada pun logo halal maka itu barulah menjadi kesalahan,” katanya selepas merasmikan Kempen Kopi Merdeka, di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) menjalankan siasatan berhubung dakwaan peniaga nasi ayam di Sungai Ara, Bayan Lepas yang dipercayai mendapatkan bekalan daripada peniaga bukan Islam.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi dua minit 39 saat yang menunjukkan peniaga nasi ayam dan itik Muslim di situ menyerahkan perkakasan nasi serta bahan hidangan di premis mereka kepada sebuah premis bukan Islam.
Susulan itu, satu video dimuat naik di Facebook oleh peniaga terbabit yang mendakwa mereka hanya mencuci perkakasan di premis bukan Islam itu.
Menurut Rosol, perkara itu menjadi kesalahan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
“Bagi bab halal ini sebenarnya tertakluk di bawah Jakim. Cuma ia menjadi tanggungjawab pengguna untuk pilih yang halal dan perlu peka dengan tempat yang halal. Kalau ada logo halal, barulah beli,” katanya. – MalaysiaGazette